Setelah 24 tahun, Anwar akhirnya jadi Perdana Menteri


SETELAH
24 tahun menempuh pelbagai rintangan dalam perjuangannya, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara jam 5.00 petang tadi.

Anwar diperkenan Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas baginda memperhalusi pandangan raja-raja Melayu yang menghadiri perbincangan khas di Istana Negara pada sebelah pagi.

Dengan pelantikan itu, episod penantian rakyat Malaysia untuk melihat pemimpin baru bagi memimpin negara setelah Parlimen berada dalam keadaan tergantung berakhir.

Agong sebelum ini meminta HARAPAN dan Perikatan Nasional membentuk kerajaan perpaduan susulan tiada mana-mana blok mendapat jumlah mencukupi bagi membentuk kerajaan secara majoriti mudah.

Walaupun Anwar bersetuju dengan cadangan Seri Paduka Baginda itu, Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan Mahiaddin Md Yassin menolaknya.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini menegaskan bahawa mereka membuat ketetapan bahawa tidak akan menyertai kerajaan perpaduan diterajui BN.

Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah pada awalnya menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri turut mengumumkan bahawa mereka mentaati hasrat Agong supaya kerajaan perpaduan dibentuk dengan melibatkan semua pihak.

Sebagai rekod, Anwar pernah menjawat jawatan Pemangku Perdana Menteri pada 1998, sebelum beliau dipecat oleh Dr Mahathir Mohammad.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan memenangi pilihan raya dengan perjanjian bahawa Dr Mahathir sebagai perdana menteri akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Mahathir bukan sahaja tidak mengotakan janjinya, malah bertindak meletak jawatan telah menyebabkan berlakunya 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kerajaan pilihan rakyat pada 2018 digulingkan.
 

Post a Comment

0 Comments