Lawan dan taulan kirim ucapan tahniah buat Anwar



BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara individu terawal yang tampil mengucapkan tahniah kepada pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam hantaran di laman Facebooknya itu, Najib turut mengucapkan selamat berkhidmat kepada Presiden KEADILAN itu.

“Tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menerima perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

“Selamat berkhidmat,” katanya.

Turut sama menyampaikan ucapan tahniah adalah Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali.

Katanya, Anwar telah melalui ranjau yang amat panjang dengan pelbagai cabaran dan ujian.

“Sudah tentu ianya akan menjadi azimat yang penting dalam mengemudikan negara ke arah lebih baik, tenang dan harmoni.

“Hubungan dan pengalaman luas Anwar di peringkat antarabangsa diharap akan memberi manfaat kepada negara terutama keyakinan kepada pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia dalam masa terdekat.

“Putra yakin dan percaya usaha membanteraskan rasuah akan lebih berkesan di bawah pimpinan Anwar yang dikenali kuat dan tegas menentang apa saja bentuk rasuah dulu, kini dan diyakini buat selamanya,” katanya dalam kenyataan.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Rasa teruja

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) tu bakal menubuhkan kerajaan perpaduan melibatkan semua semua pihak termasuk dari Sabah dan Sarawak bagi membina semula negara.

Beberapa pemimpin HARAPAN turut menyatakan rasa bangga terhadap lantikan itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata beliau percaya Anwar akan menjalankan tugasnya dan menegakkan Perlembagaan, menubuhkan kerajaan berjiwa rakyat untuk kepentingan semua.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Anwar akan menjadi pemimpin kuat yang menyatukan negara dan membawa kepada pembaharuan.

Turut menyatakan rasa bangga mereka adalah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang tidak sabar Anwar mengembalikan kegemilangan Malaysia.

Pelantikan Anwar turut mendapat sambutan baik dikalangan selebriti tempatan, penyanyi Datuk Fazley Yaakob dipetik laporan media berkata, jika arwah bapanya, Datuk Yaakob Mohammad masih ada, pasti hari ini menjadi momen paling menggembirakannya.

Pelakon Ben Amir hari ini dalam hantaran laman sosialnya memuat naik gambar lamanya memakai baju tertera wajah Anwar yang kapsyen "Negara berbilang bangsa dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Our PM (Perdana Menteri kita),”  

Dramatis Sweet Qismina, Diana Danielle, Zizi Kirana dan Daiyan Trisha turut melahirkan rasa syukur mereka atas pelantikan Anwar.

Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dalam hantaran twitternya menyampaikan ucapan Tahniah kepada Anwar dengan harapan agar pentadbiran Anwar akan menggalakkan hubungan baik antara Jepun dan Malaysia.

“Tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Kedutaan AS Kuala Lumpur berharap dapat terus mengukuhkan perkongsian strategik AS-Malaysia di bawah kepimpinan beliau,” kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D. McFeeters  dalam kenyataan.

Banyak pihak utus ucapan tahniah buat Anwar
Dari selatan tanah air,  Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar Ibrahim.

Ucapan tahniah itu dizahirkan menerusi poster yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda 'Sultan Ibrahim Sultan Iskandar' sebentar tadi.

Turut menzahirkan tahniah ialah anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, juga di laman Facebook rasmi baginda. 

Post a Comment

0 Comments