KEPUTUSAN Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, menolak usul bagi membincangkan dakwaan terhadap seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang didakwa memiliki 4.2 juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam dikritik.
R.Sivarasa (HARAPAN - Sungai Buloh) yang memfailkan usul tergempar meminta dakwaan berkenaan dibahaskan pada Isnin menyifatkan tindakan Azhar itu sebagai pengabaian tanggungjawab kerana menurutnya usul itu mematuhi syarat Peraturan Mesyuarat (18)1.
“Saya minta perkara ini dikaji semula. Penolakan ini tidak betul dan tidak patut,” katanya, selepas membaca surat penolakan usul daripada Azhar.
Menurut apa yang dibacakan Sivarasa, usul itu ditolak kerana Dewan Rakyat perlu membuat satu ketetapan terlebih dahulu.
Timbalan Speaker, Azalina Othman Said, yang mempengerusikan sesi petang turut menyatakan simpati kepada Sivarasa kerana usulnya ditolak.
Beliau mencadangkan Sivarasa mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. Secara peribadi Ahli Parlimen Pengerang itu turut menggesa pembangkang memuatkan pindaan pada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dalam memorandum persefahaman dengan kerajaan.
“Usul saya pun banyak kali tolak Yang Berhormat,” katanya kepada Sivarasa, dan menambah beliau tidak boleh buat sebarang keputusan yang mengatasi Speaker.
BACA: 'Orang penting' SPRM didakwa miliki empat juta saham
Terdahulu, Sivarasa mendakwa seorang pegawai tinggi SPRM itu memiliki 4.2 juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam.
Beliau dimaklumkan bahawa pegawai itu menjadi pemilik 930,000 saham sebuah syarikat tersenarai pada 2015 dan memiliki 1,029,000 saham lagi pada tahun berikutnya.
Sivarasa berkata, pegawai tinggi itu turut menjadi pemilik 2,156,000 waran dalam sebuah lagi syarikat tersenarai awam pada 21 Mac 2016. Beliau menjadi pemilik saham dan waran itu semasa menjadi pengarah SPRM, menurut Sivarasa.
Sivarasa sebelumnya failkan usul tergempar |
“Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan Tatatertib ) 1993 juga mewajibkan pegawai awam mengisytiharkan semua harta mereka kepada Ketua Jabatan mereka,” katanya ketika menghantar usul berkenaan.
0 Comments