SEORANG pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu Ismail Sabri Yaakob membuat penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari terhadap empat duta khas Perdana Menteri.
Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang selepas Ismail baru-baru ini mengumumkan KPI seluruh jemaah menteri mencapai prestasi sekitar 90 peratus sepanjang 100 hari pentadbirannya.
"Jika empat duta khas ini tidak dapat menghasilkan kad laporan 100 hari mereka, apakah fungsi mereka ini?
"Saya sebelum ini bertanya sama ada duta khas Malaysia ke Timur Tengah telah disekat daripada menjejak kaki ke Arab Saudi, dan tidak pernah melawat Arab Saudi sejak dilantik sebagai duta khas setakat April 2020, tetapi tiada jawapan yang diberikan.
"Berapa kali Tiong melawat China sejak pelantikannya dan apakah yang telah dilakukannya untuk mewajarkan pelantikannya? Soalan yang sama ditujukan kepada Hadi, Richard Riot dan Vigneswaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan Ismail melalui mesyuarat kabinet pada 1 September lalu bersetuju untuk terus menyambung pelantikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah yang dilantik semasa pentadbiran Mahiaddin Md Yassin.
Mesyuarat sama turut bersetuju menyambung khidmat setiausaha agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke China dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur dan Presiden MIC, SA Vigneswaran sebagai duta khas ke India dan Asia Selatan.
Kesemua mereka adalah bertaraf seorang menteri.
Namun fungsi mereka dipertikaikan dan dianggap sesetengah pihak sebagai 'habuan politik' bagi mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri.
Pada awal Disember, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan tiada perjalanan rasmi ke luar negara dibuat oleh tiga duta khas yang dilantik kerajaan.
Menteri di JPM (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata kesemua mereka duta khas dilantik menerima emolumen berjumlah RM27,227.20 setiap bulan.
Mereka turut mendapat kemudahan lain seperti kemudahan telefon bimbit, kenderaan, pemandu dan pejabat.
Sementara itu Kit Siang dalam kenyataannya turut mempersoalkan fungsi pelantikan duta atau utusan khas ke mana-mana wilayah apabila dia tidak dapat membuat kunjungan ke wilayah tersebut.
Mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad di Dewan Rakyat semalam, berhubung bilangan utusan khas dan penasihat perdana menteri, beliau menyifatkannya sebagai “mengejutkan”.
"Persoalan pertama yang terlintas di fikiran ialah mengapa perdana menteri mempunyai begitu ramai penasihat khas dan duta khas kerana beliau sudah mempunyai kabinet gergasi yang terdiri daripada 31 menteri dan 38 timbalan menteri dan tidak kurang juga pesuruhjaya tinggi dan duta besar di seluruh dunia?
"Adakah Ismail Sabri bersedia untuk meminta kelulusan khusus daripada parlimen bagi memberi kuasa kepadanya untuk melantik penasihat khas dan duta khas? Jika tidak, ini bukan kerajaan parlimen tetapi kerajaan penasihat khas di Malaysia!" katanya lagi.
Abdul Latiff dalam jawapannya di Dewan Rakyat memberitahu Ismail Sabri pada masa ini memiliki lima penasihat khas.
Selain empat duta khas tersebut, seorang lagi adalah Azalina Othman Said yang menjadi penasihat dalam soal undang-undang dan hak asasi manusia.
Kelima-limanya menelan belanja RM136,136 sebulan. Sekiranya mereka berkhidmat selama dua tahun penuh, mereka dijangka membelanjakan wang pembayar cukai berjumlah RM3.267 juta.
Duta khas dibayar emolumen bulanan RM27,227.20 |
Namun difahamkan kos dinyatakan Abdul Latiff itu tidak Jamil dan seorang lagi penasihat yang akan dilantik.
Warganet sebelum ini turut mempersoal keperluan Ismail melantik terlalu ramai penasihat disekelilingnya.
0 Comments