KERAJAAN pimpinan Ismail Sabri Yaakob sekali lagi dipersoal setelah perdana menteri itu memberi markah 90 peratus terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari barisan kabinetnya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyifatkan pengumuman KPI diumumkan Ismail pada minggu lalu sebagai sangat mengejutkan setelah dilihat tidak setara dengan apa yang sepatutnya.
"KPI ini dilihat terlalu besar jurangnya dengan realiti sebenar yang dialami oleh rakyat," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Nurul Izzah sementara itu menegaskan sekiranya jemaah menteri benar-benar memberikan prestasi yang baik, mengapa mengapa ada rang undang-undang (RUU) penting masih tidak kedengaran perkembangannya.
Antaranya, kata Nurul Izzah, ialah RUU Antigangguan Seksual bagi melindungi wanita yang sepatutnya dibentang pada Dis ini, selain RUU akta profesion pekerja sosial bagi mengupaya kumpulan terbabit.
"Sewaktu negara dan rakyat berperang dengan pandemik, pekerja sosiallah yang merupakan tunjang kepada khidmat kebajikan sosial, termasuk bebanan yang turut dipikul rakyat menerusi gerakan #KitaJagaKita dan pengeluaran simpanan KWSP bagi menyelamatkan ekonomi kita bersama," katanya.
Beliau turut membangkitkan isu Paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dijanji oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Yusoff yang akan menggunapakai PGK terbaru (RM2,208) bagi penurunan bantuan namun akhirnya menurut Nurul Izzah hanya menggunakan PGK makanan (RM1,169).
"Dengan puluhan minggu sesi persekolahan ditutup dan kita tergolong antara sekumpulan negara yang paling lama menutup sekolah, serta Program Sarapan Percuma (PSP) bagi semua murid-murid yang tidak diteruskan, layakkah prestasi dinilai pada 90 peratus?" soalnya.
Layakkan kabinet Ismail dapat markah 90? |
Malah pengumuman Ismail kononnya kabinet diketuainya telah berjaya mencapai KPI membanggakan itu dikritik Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
Presiden N Marimuthu berkata, tindakan kerajaan menilai sendiri prestasinya adalah tindakan tidak masuk akal.
Dipetik laporan FMT, Marimuthu berkata: “Rakyat yang sepatutnya memberi markah. Macam mana kerajaan yang menetapkan kertas soalannya, menandanya, dan kata dapat markah A+?” tegasnya.
0 Comments