Mahasiswa kecewa sikap kerajaan dalam isu harga barang


SEKRETARIAT Mahasiswa Marhaen menyatakan rasa kecewa mereka terhadap reaksi kerajaan berhubung masalah kenaikan harga barang yang semakin melampau dan menekan kehidupan rakyat Malaysia.

Menerusi saru kenyataan, sekretariat di bawah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu itu menegaskan bahawa kerajaan perlu lebih proaktif mengawal keadaan tersebut memandangkan kenaikan harga barangan keperluan harian sehingga 200 peratus menambahkan lagi beban rakyat sedia ada.

Mereka mempersoalkan kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh sebelum ini bahawa kenaikan harga barang tidaklah seteruk negara lain dengan membandingkan Malaysia dan Mesir.

“Sikap membandingkan ini sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah, malah memperkecilkan permasalahan yang dihadapi rakyat Malaysia.

“Adakah pada pandangan Timbalan Menteri, dengan membandingkan masalah rakyat Malaysia dan Mesir, rakyat akan lebih bersyukur sekaligus tidak kisah jika terpaksa mengikat perut?” tempelak sekrerariat itu.

Mereka turut menyifatkan kerajaan bertindak sambil lewa menangani isu kenaikan harga barang apabila kenyataan memperlekeh isu dihadapi rakyat itu bukan sahaja keluar dari mulut seorang ahli kerajaan.

“Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang bertanggungjawab untuk mengawal kenaikan harga yang melampau ini malah boleh mengatakan bahawa kenaikan harga barang masih lagi normal.

“Pihak Sekretariat Mahasiswa Marhaen melihat kenyataan tidak bertanggungjawab ini mengisyaratkan satu sikap kerajaan yang sambil lewa dalam menyelesaikan masalah rakyat.

“Kementerian yang paling bertanggungjawab ini tiada usaha pun untuk mengekang kenaikan harga barang yang terus menekan,” ujar mereka.

Sekretariat berkenaan juga berpendapat tiada jaminan daripada pihak kerajaan bahawa harga barangan akan turun memandangkan tiada langkah proaktif menuju ke arah tersebut meskipun Ismail Sabri membuat jangkaan bahawa harga barang akan mula stabil pada 2022.

“Hal yang sama juga dapat dilihat dalam idea bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Serius-kah kerajaan selesai isu harga barang?
“Beliau mencadangkan supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet bagi menyelesaikan isu ini.

“Beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri sememangnya gemar menubuhkan jawatankuasa yang akhirnya tidak memberikan hasil yang signifikan.

“Apalah gunanya ditubuhkan Jawatankuasa tersebut jikalau Menteri-Menteri itu tidak mampu untuk menguruskan kenaikan harga barang atas kapasiti penuh mereka sebagai Menteri?” tegas sekretariat itu lagi.

Post a Comment

0 Comments