Surat Anwar tak salah, ada asas perlembagaan - AMK

 

ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) mempertahankan tindakan DatuK Seri Anwar Ibahim, mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon agar pelaksanaan darurat ditamatkan.

Ketuanya, Akmal Nasir melalui hantaran di laman Facebook menegaskan bahawa tindakan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung perkara itu bukti bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam keadaan tertekan dan terdesak.

Tambahnya, kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhubung perkara itu adalah bersifat ugutan dan bermotifkan politik.  

"Ini merupakan tindakan terdesak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan PN dengan menggunakan modus operandi yang tidak demokratik, memanipulasikan undang-undang dan mengeksploitasi penjawat awam demi kepentingan politik semata-mata.

"Menteri Dalam Negeri dilihat gopoh apabila mengeluarkan kenyataan politik yang jauh menyimpang daripada inti pati sebenar warkah yang dihantar kepada Agong.

"Tindakan berbaur ugutan ini sama sekali tidak berasas dan membelakangkan hak ahli Parlimen untuk menyampaikan warkah bagi mewakili serta menyampaikan hasrat rakyat kepada Agong," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Anwar mencadangkan agar semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Agong bagi memohon perkenan Seri Paduka membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang parlimen diadakan secepat mungkin.

Susulan itu Anwar dituduh menghasut dan mengancam keselamatan serta ketenteraman negara dan beberapa laporan polis telah difailkan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Pada 2 Feb lalu, Hamzah memaklumkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Anwar susulan 13 laporan polis dibuat di seluruh negara ke atas ketua pembangkang itu.

Akmal sementara itu berkata, tindakan Anwar mempunyai asas perlembagaan berdasarkan Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat.

"Tindakan Anwar dan ahli-ahli parlimen sudah pasti mempunyai asas perlembagaan yang kuat dengan merujuk Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat yang boleh ditarik balik oleh Agong atau dibatalkan parlimen.

"Dalam hal ini, kekhilafan kerajaan yang menggantung Parlimen telah menjadikan hanya Agong sebagai saluran yang boleh menamatkan darurat," kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi.

Akmal dakwa PN dalam keadaan terdesak
Anwar dalam satu perkongsian video sebelum ini mengkritik Hamzah yang disifatkannya tidak membaca dan benar-benar memahami surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum memberikan kenyataan umum.


BACA:
Tak faham bahasakah? soal Anwar kepada Hamzah Zainuddin?

BACA: Ahli parlimen gesa gugur siasatan terhadap Anwar

"Pak menteri, bacalah kenyataan kita dan surat kita kepada Agong. Apa yang (kami) sebut? Merayu, memohon ihsan dan kebijaksanaan baginda.

"Tak faham bahasakah? Memohon, merayu itu maksudnya meminta ihsan kebijaksanaan tuanku untuk menimbang. Adakah itu berbunyi desakan?' soal Anwar.

Post a Comment

0 Comments