AHLI PARLIMAN Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengkritik siasatan polis terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Melalui ciapan yang dikongsikan di laman mikro Twitternya, Nik Nazmi menyifatkan siasatan itu sebagai "tidak wajar dan tidak berasas." dan mahu ia dibatalkan.
Tegasnya, semakan kehakiman yang tindakan tersebut hanya tertumpu kepada nasihat yang diberikan kerajaan kepada Agong berhubung pengisytiharan darurat dan bukan kepada institusi beraja.
"Beberapa pemimpin lain turut memfailkan tuntutan yang sama berhubung pengisytiharan darurat,” ciapnya.
Nik Nazmi sebelumnya mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang berkata polis telah membuka siasatan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan beberapa individu lain.
Selain itu, Nik Nazmi turut menegaskan cabaran semakan kehakiman yang difailkan Anwar juga pernah dilakukan PAS berhubung pengisytiharan darurat di Kelantan pada 1977.
“Oleh itu, mahkamah perlu dibenarkan untuk menentukan merit bagi hujah-hujah perundangan tanpa sebarang campur tangan dari pihak lain.
“Sebagai warganegara Malaysia, Anwar berhak untuk mendapatkan penghakiman mahkamah untuk membetulkan kesalahan yang dipercayai telah berlaku.
"Menggunakan polis untuk menyiasat dan menakut-nakutkan ahli parlimen yang berkhidmat dan ketua pembangkang yang menjalankan tugasnya untuk semak imbang kerajaan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.
![]() |
Siasatan dianggap tidak berasas |
Antara lain Anwar memohon deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.
0 Comments