KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan membuat ugutan terhadap pihak yang merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkan pelaksanaan darurat sebagai tidak dapat diterima.
Melalui satu video yang disiarkan di laman Facebooknya, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mempersoalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin hari ini berkata, polis sedang menyiasat dirinya susulan permohonan kepada Agong berkaitan perisytiharan darurat itu.
Anwar dalam video tersebut turut mempersoalkan apakah setiausaha agung Bersatu itu ada membaca dan benar-benar memahami surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dia memberikan kenyataan umum.
"Pak menteri, bacalah kenyataan kita dan surat kita kepada Agong. Apa yang (kami) sebut? Merayu, memohon ihsan dan kebijaksanaan baginda.
"Tak faham bahasakah? Memohon, merayu itu maksudnya meminta ihsan kebijaksanaan tuanku untuk menimbang. Adakah itu berbunyi desakan?
"Apakah rakyat biasa, rakyat tukang cuci, barisan hadapan tidak boleh merayu kepada Agong supaya baginda mempengaruhi dan memperbaiki keadaan semasa adalah hal-hal yang kita tak setuju?" katanya lagi.
Terima hakikat PN hilang majoriti
Anwar juga mempersoalkan apakah tindakan memfailkan petisyen ke Mahkamah boleh dianggap menyalahi undang-undang?
“Kamu sudah kalah dalam pertarungan politik, sudah hilang majoriti, hadapi kenyataan ini dalam suasana demokratik dan jangan guna ugutan,” tegas Anwar.
Pada 12 Jan lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal.
![]() |
PN didakwa telah hilang majoriti |
Ia disusuli tindakan Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen pada 25 Jan lalu.
Satu daripada alasan Anwar berbuat demikian ialah keadaan semasa Muhyiddin sebagai perdana menteri dipertikaikan apabila presiden Bersatu itu tidak lagi mendapat dukungan majoriti ahli parlimen.
"Yang kita bantah itu adalah keputusan Perdana Menteri dan jemaah menteri," katanya merujuk tindakan Muhyiddin mengantung sidang parlimen susulan perintah darurat.
"Harus diingat bahawa yang bersetuju (dengan tindakan mahkamah tersebut) ada 114 orang ahli parlimen, dan mungkin 115.
"Maknanya ada majoriti ahli parlimen yang membuktikan PN (Perikatan Nasional) sudah hilang majoriti," katanya.
Untuk rekod, selain Anwar beberapa pihak turut memfailkan permohonan untuk kebenaran di Mahkamah Tinggi pada 26 Jan lalu.
Mereka ialah Adun Simpang Jeram, Salahuddin Ayub (Amanah), Adun Gurun, Johari Abdul (PKR) dan Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP). Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memfailkan tindakan sama berhubung isu tersebut.
Sementara itum Anwar berharap polis akan menjalankan siasatan dengan profesional dan tidak mengikut arahan mana-mana pihak.
“Kalau difikirkan ada alasan perundangan bukan ikut arahan menteri.
0 Comments