Tun Daim persoal pembebasan Riza Aziz


SEORANG bekas menteri kanan, Tun Daim Zainuddin hari ini mempersoal keputusan Putrajaya yang menyetujui perjanjian penyelesaian dalam kes mahkamah membabitkan Riza Aziz.

Memetik laporan sebuah portal, Tun Daim berkata perjanjian Putrajaya dan Anak tiri Najib Razak itu adalah berat sebelah.

“Rakyat mahu tahu mengapa bila kamu curi Milo kamu kena penjara, tetapi bila kamu curi berbilion ringgit, kamu boleh terlepas?

“Rakyat fikir ini adalah perjanjian yang bagus untuk dia (Reza). Dia tak perlu habiskan masa dalam penjara dan dibenarkan untuk simpan lebih RM500 juta yang dicurinya,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang lapornya disiar Malaysiakini.

Bekas menteri kewangan itu memberi alasan perjanjian penyelesaiaan itu hanya menguntungkan Riza. Rakyat jelasnya marah dan mahu mengetahui mengapa Putrajaya menyetujui perjanjian tersebut.

“Sudah tentu rakyat marah. Dia tak beri pun sebarang bayaran semula tambahan - semua hartanah itu sudah disita dan memang akan dipulangkan kembali kepada Malaysia.

“Lagipun, jumlah yang mereka tawarkan adalah jumlah nilaian hartanah itu.

“Ia tidak bermaksud yang inilah jumlah nilai yang akan dilelong. Rakyat mahu tahu mengapa dia tidak dipenjara, dan mengapa dia dibenarkan menyimpan lebih separuh daripada wang yang dituduh dicurinya,” kata beliau.

Riza, sebelum ini didakwa dengan lima tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB antara April 2011 dan November 2012.

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Riza daripada semua pertuduhan, dengan syarat Riza memulangkan aset asing dikaitkan dengan jenayah itu yang dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Susulan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata kerajaan dijangka mendapatkan kembali aset luar negara yang dianggarkan bernilai AS$107.3 juta sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Post a Comment

0 Comments