Bekas Menteri Kewangan bantah cadangan perkenal cukai baharu


KERAJAAN
perlu meletakkan keutamaan untuk menyelamatkan rakyat dengan bantuan kewangan dan bukannya memperkenalkan cukai keuntungan modal, termasuk keuntungan saham, kata bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng membuat penegasan itu dalam satu kenyataan media susulan pengumuman Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa bahawa kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, beliau pernah menolak cadangan seperti dinyatakan Yamani ketika menerajui kementerian kewangan ketika era kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Pada saat yang genting ini, kerajaan perlu meletakkan keutamaan untuk menyelamatkan rakyat dengan bantuan kewangan dan bukan sebaliknya dengan mahu rakyat menyelamatkan kerajaan.

“DAP membantah sebarang cadangan pelaksanaan cukai keuntungan modal, termasuk keuntungan saham oleh kerajaan untuk membantu menyelamatkan kerajaan dengan menambah semula hasil.

“Cadangan ini telah dibangkitkan dan saya menolaknya ketika menjadi Menteri Kewangan kerana ia akan menjadikan Malaysia kurang kompetitif, ketika negara mencatat salah satu negara dengan kadar cukai korporat tertinggi di antara 60 ekonomi terbesar di dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yamani dalam Dewan Rakyat pada 22 September lalu menyatakan cukai yang mahu diperkenalkan itu adalah bagi meningkatkan hasil kerajaan.

Menurutnya, ia termasuk mengenakan cukai ke atas keuntungan hasil pelaburan saham dan pengenaan kadar cukai lebih tinggi secara “one-off” kepada syarikat-syarikat yang menjana keuntungan luar biasa dalam tempoh pandemik Covid-19.

Letak keutamaan bantu rakyat terlebih dahulu
Sementara itu menurut Guan Eng, kerajaan perlu sedar bahawa negara sedang menghadapi krisis nasional yang teruk akibat pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Tawaran bantuan kewangan untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat adalah kewajipan pemerintah dan bukannya memiskinkan rakyat dengan menekan mereka menerusi cukai tambahan,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments