Isu logo hadapi PRU: Anwar tolak buat keputusan sendiri


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak boleh sewenangnya membuat keputusan sendiri berhubung isu logo tunggal yang bakal digunakan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Anwar yang juga merupakan Presiden KEADILAN berkata begitu dipetik laporan media mengenai perkara itu.

"Saya tak boleh buat keputusan sendiri, jadi perlu dengar nasihat KEADILAN peringkat negeri dan cabang.

'Tetapi apa-apa pun, HARAPAN mesti menjadi blok yang kuat dan bersatu," katanya di Pantai Teluk Kemang, Negeri Sembilan seperti dilapor media.

Pada 3 September lalu, Anwar berkata parti komponen HARAPAN secara prinsip bersetuju untuk menggunakan satu logo.

Kemudian timbul desakan supaya logo KEADILAN diguna semula seperti dilakukan pada PRU lalu, namun dibantah beberapa pihak dalam gabungan itu.

Susulan gesaan itu, Anwar pada 16 September berkata isu berkenaan logo masih dalam perbincangan dan kedua-dua pihak mempunyai "hujah yang kuat".

Anwar usaha capai keputusan terbaik
Terbaharu, KEADILAN Perak  mendakwa "majoriti" pengundi di negeri tersebut memilih logo parti itu sebagai lambang yang sesuai.

Ketua Penerangannya,  Muhammad Arafat Varisai Mahamad berkata satu kajian dibuat mereka dengan kerjasama Persatuan Generasi Baru Hulu Kinta di 59 kawasan dewan undangan negeri (DUN) mendapati 78 peratus responden menyatakan logo KEADILAN lebih sesuai berbanding 22 peratus mahukan logo HARAPAN.

Beliau turut menegaskan bahawa menggunakan logo dan bendera KEADILAN pada PRU akan datang adalah strategi terbaik untuk membantu memenangkan HARAPAN seperti dicapai mereka pada PRU lalu.

Post a Comment

0 Comments