Peguam Negara digesa jelaskan SOP pendakwaan individu berprofil tinggi


PEGUAM Negara Idrus Harun digesa menjelaskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi.

Gesaan itu disuarakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) susulan keputusan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan dihadapinya sebelum ini setelah pihak pendakwaan menarik balik dua pertuduhan terhadap Ahmad selepas dia setuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

“Kami menggesa peguam negara untuk beri penjelasan memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan peguam negara.

“Peguam negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi SOP baru terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada "barang kes" tersebut?” soal Majlis Presiden HARAPAN dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Madius Tangau.

Ahmad Maslan yang merupakan Ahli Parlimen Pontian sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 29 September lalu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad selepas dia bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

Perkembangan itu menyusul beberapa hari selepas Ahmad Maslan dinamakan sebagai claon timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Sementara itu, Majlis Presiden dalam kenyataan menyuarakan rasa kesal dengan apa yang didakwanya sebagai sikap acuh tak acuh SPRM yang seolah-olah membenarkan perkara itu.

“Bolehkah SPRM memberikan penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas sepertimana yang membabitkan ahli politik penyokong kerajaan?

Majlis Presiden mahu penjelasan
“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum (rule of law), trend baru peguam negara dan SPRM ini jelas melanggar prinsip bahawasnya keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga mesti disaksi dilakukan (“justice must not only be done, it must also be seen to be done").

“Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki agar SPRM mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai,” kata mereka.

 
 

Post a Comment

0 Comments