PAC wajar semak perbelanjaan naik taraf Sri Perdana, gesa Ahli Parlimen


AHLI PARLIMEN
Kepong,  Lim Lip Eng menggesa perbelanjaan RM38.5 juta bagi projek menaik taraf Kompleks kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana disemak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, siasatan itu bagi memastikan dana yang begitu besar diperincikan setiap penggunaannya agar tiada ketirisan berlaku, termasuk dakwaan pemasangan tandas automatik di kompleks itu.

“Saya mencadangkan supaya merujuk isu kos RM38.5 juta untuk naik taraf Kompleks Seri Perdana kepada PAC.

“Saya minta siasat apa perlu dibuat ubah suai sekarang di Kompleks Seri Perdana. Adakah ada bumbung bocor, dinding retak, siapa kontraktor, adakah tender terbuka dijalankan, kenapa kos tinggi, apakah jenama lampu yang dibeli, adakah tandas automatik dipasang?” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian selepas mencelah ketika June Leow (PH-Hulu Selangor) membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Isu berkaitan naik taraf itu menarik perhatian ramai setelah kelulusannya ketika pentadbiran Mahiaddin Md Yasin dilihat sebagai tidak sensetif terhadap rakyat, tambahan ia dilakukan ketika negara sedang berdepan pendemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad sebelum ini mendedahkan belanja naik taraf bagi projek itu bukan RM30 juta seperti disangka, Ia diluluskan 19 Mac lalu dan mula dilaksanakan 10 hari kemudian.

Kerajaan memberi alasan  kerja mengubah suai dan menaik taraf sebanyak RM30 juta diperlukan untuk menjamin keselamatan serta menjaga imej negara dalam menyambut tetamu utama negara semasa program rasmi Perdana Menteri.

Pastikan tiada penyelewengan
Sekali lagi alasan itu membangkitkan rasa tidak puas hati dikalangan pemimpin pembangkang.

Selain itu, isu itu juga telah mencetus tuduh menuduh diantara Mahiaddin dan pendahulu bekas perdana menteri Najib Razak.