Lepas wartawan, akhbar Harakah pula minta maaf dari Mujahid


AKHBAR lidah rasmi Parti PAS, Harakah keluaran terbaharu dilapor telah menyiarkan kenyataan maaf terhadap Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Permohonan maaf itu berhubung fitnah berkaitan isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dikaitkan dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
 
“Harakah cetak di muka surat H7 pada keluaran 4-7 Oktober 2021 (terkini) telah keluar kenyataan maaf di atas artikel yang tuduh saya tidak tegas dengan LGBT dan Sajat bertindak kerana saya dan PH.

“Fitnah itu ditarik balik dalam permohonan maaf Harakah atas arahan mahkamah,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Difahamkan akhbar tersebut turut menyiarkan semula kenyataan maaf wartawan Aziz Muda yang disiar portal milik parti itu Harakahdaily pada 29 September lalu.

Aziz dalam kenyataan maaf itu berkata dia tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menjatuhkan maruah, mengaibkan  Mujahid dengan penerbitan artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan dan ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH”.

Menyedari usaha Mujahid dalam bidak dakwah dan memartabat Islam, Aziz mengakui bahawa Mujahid tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan tindakan Sajat yang bertelekung ketika menunaikan umrah di Makkah.

Selain itu Aziz mengakui Mujahid tidak pernah melarang pihak berwajib dan orang ramai daripada melakukan serbuan dan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti LGBT dan perzinaan.

Turut diakuinya lagi bahawa Mujahid tidak pernah membenarkan atau menyokong amalan LGBT untuk dipraktikkan di Malaysia.

Terdahulu, Mujahid yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lalu, menamakan Aziz, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit Harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Mujahid mendakwa pada 7 Februari tahun lalu, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di Harakahdaily menerusi artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan’ serta menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Februari menerusi artikel ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’.

Mujahid dibersihkan dari tohmahan
Mujahid selaku plaintif menegaskan kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti LGBT selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita, sewaktu menunaikan umrah.

Mujahid juga mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Post a Comment

0 Comments