Wajib undi: cadangan Ahmad Maslan dianggap hanya untungkan Umno


GESAAN dibuat calon timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ahmad Maslan agar pengundian dalam pilihan raya diwajibkan dikritik.

Pengerusi badan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 Thomas Fann dan seorang penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura,  Oh Ei Sun  menyifatkan cadangan itu yang disusuli tindakan terhadap individu yang ingkar boleh menyebabkan ketidakadilan tegas mereka.

Fann berpandangan, Malaysia mesti terus menghormati hak rakyat untuk tidak mengundi.

“Kami tidak setuju dengan usul mewajibkan pengundian kerana kami percaya ini mencabul hak penyertaan rakyat,” katanya kepada FMT.

“Jika kita ingin lihat lebih ramai keluar mengundi, kita tidak boleh menggunakan langkah bersifat punitif, sebaliknya mendidik pengundi mengenai kepentingan mengundi.

“Dengan Undi 18 akan dilaksanakan tak lama lagi, kita perlu memulakan pendidikan sivik untuk menyebarkan pemahaman mengenai proses pengundian dan kepentingan mengundi.

“Itu adalah kaedah lebih baik untuk meningkatkan penyertaan demokratik.” katanya dipetik laporan portal FMT.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian, baru-baru ini menggesa agar pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan untuk mewajibkan rakyat Malaysia mengundi dalam pilihan raya, dengan mencadangkan agar mereka yang melanggar peruntukan ini didenda atau dilarang memperbaharui lesen memandu.

Katanya pengundian diwajibkan di 22 negara, termasuk Thailand dan Singapura.  

Sementara itu Thomas turut mengingatkan Ahmad Maslan bahawa ahli politik sepatutnya fokus untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan demokrasi.

Mereka juga bertanggungjawab untuk memperbaiki kelemahan sistemik dan keadaan yang memungkinkan berlakunya perubahan kerajaan pada pertengahan penggal menerusi tindakan melompat parti.

“Mereka mesti memberi sebab bagi orang ramai untuk percaya bahawa mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) masih berbaloi,” katanya lagi.

Sementara itu Ei Sun pula berkata, cadangan Ahmad Maslan itu mungkin secara tidak adil menghukum rakyat di kawasan luar bandar yang sering menghadapi kesukaran untuk keluar mengundi. Ini terutamanya berlaku kepada pengundi luar bandar di Malaysia Timur, tambahnya.

Katanya, kerajaan harus fokus kepada isu lebih penting seperti memperbaiki sistem pengundian dan mempermudah urusan pengundi luar bandar.

Beliau turut menyatakan rasa yakin bahawa gesaan Ahmad hanya akan menguntungkan Umno.

Boleh jadi sebab ketidakadilan


“Setakat ini, hanya Umno yang ada kemampuan logistik untuk menyediakan bantuan pengangkutan kepada calon pengundi di luar bandar.


“Saya tak rasa parti lain ada kemampuan yang serupa. Oleh itu hanya Umno yang boleh membawa pengundi keluar mengundi.” katanya dipetik laporan sama.

Post a Comment

0 Comments