KM Melaka hilang sokongan, Idris dakwa kerajaan jatuh

TANDA TANYA  mengenai khabar angin berkenaan kerajaan Negeri Melaka sudah terjawab.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang juga Adun Sungai Udang hari ini mengumumkan bahawa dirinya bersama tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan negeri kerajaan.

“Saya Idris Haron, Adun Sungai Udang, bersama Pangkalan Batu, Teluk Emas, dan Pantai Kundur, mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada ketua menteri Melaka dan seluruh kepimpinan kerajaan.

“Kami berempat telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada pejabat ketua menteri,” katanya pada sidang akhbar di Melaka yang turut disertai tiga lagi ADUN yang bersamanya.

Idris turut mendakwa tindakan mereka itu membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri.

"Kami pun letak jawatan (sebagai exco) bermakna kerajaan sudah tak ada," katanya lagi

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin bertiup bahawa kerajaan baharu di negeri Melaka bakal terbentuk.

sumber memberitahu ranangan menggulingkan Sulaiman bermula sejak bermulanya ketegangan antara Umno dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencapai kemuncak kira-kira dua bulan lalu.

Media melaporkan beberapa pemimpin dalam kerajaan memberi tawaran supaya Pakatan Harapan (HARAPAN)  yang diberi mandat oleh rakyat bagi mentadbir beberapa negeri termasuk Melaka dan Persekutuan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) lalu mengambil semula pentadbiran Melaka.

Beberapa pemimpin HARAPAN sebelum ini mengesahkan situasi politik tidak stabil di Melaka, perbincangan mengenainya juga telah diadakan. Namun tiada keputusan dibuat mengenainya.

Sementara seorang dari KEADILAN menegaskan gerakan menukar kerajaan Negeri itu yang dikenali sebagai "Langkah Melaka' bukan didalangi pihak mereka.

Untuk rekod, pada 2 Mac 2020, BN mengumumkan bahawa kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Adly Zahari tumbang selepas dua Adun Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) keluar daripada gabungan itu.

Selain itu, Adun Rembia Jailani Khamis yang menang dengan tiket KEADILAN, dan Adun DAP Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) juga meninggalkan HARAPAN dan menyertai dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan mereka menjadikan sebanyak 17 wakil rakyat menyokong PN berbanding 11 di bawah gabungan HARAPAN.

Sulaiman sudah hilang majoriti dalam DUN
Walau bagaimanapun HARAPAN akan mempunyai 15 sokongan berbanding 13 sekiranya empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri hari ini menyatakan sokongan kepada HARAPAN.

Bagaimanpun, apa yang akan berlaku selepas ini sukar diramalkan susulan beberapa pemimpin dalam DAP sebelum ini menolak kerjasama dengan golongan digelar mereka sebagai 'pengkhianat'.


Post a Comment

0 Comments