HARAPAN sudah ada calon PM ?


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf terbuka susulan gabungan itu belum dapat memuktamadkan calon Perdana Menteri untuk HARAPAN Plus.

Melalui satu siaran langsung di Facebook miliknya, Anwar menegaskan bahawa ada pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenainya  dapat diumumkan kepada ramai.

"Sebab itu kita (HARAPAN Plus) memohon maaf kerana kita terpaksa menangguhkan sedikit pengumuman mengenai kepimpinan yang bakal menerajui negara kita," katanya hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa usaha mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) masih menjadi agenda gabungan berkenaan.

Sebagai rekod, gabungan baru itu disertai HARAPAN yang dianggotai parti KEADILAN, DAP dan Amanah serta parti Warisan dan segelintir penyokong pengasas parti Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Pada minggu lalu, semua pemimpin parti berkenaan mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya bagi membincangkan pelan mengambil kembali Putrajaya dan calon perdana menteri untuk gabungan tersebut.

Sementara itu, Anwar mendedahkan di pihak HARAPAN, sudah ada keputusan dibuat mengenai isu itu, namun gabungan itu tetap perlu mengambil kira beberapa faktor yang menghalang ia diumumkan.

"HARAPAN sebagai satu badan memang dah buat keputusan tetapi kita terpaksa rujuk kepada teman-teman lain, termasuk Warisan dan kelompok Bersatu di bawah pimpinan Dr Mahathir," katanya lagi.


Perubahan menyeluruh


Dalam kenyataan sama, Anwar turut menekankan bahawa bukan setakat usaha mengambil semula kerajaan perlu diberi perhatian, namun prinsip reformasi untuk kepedulian terhadap masalah rakyat, mengembalikan keyakinan pelabur dan menjana semula ekonomi negara tegasnya terus menjadi teras utama perjuangan gabungan itu.

Tambah Anwar, ada perkembangan lain yang perlu diambil kira antaranya pelanggaran hukum dan kebobrokkan dalam sistem perundangan, badan kehakiman, serta hukuman melepaskan golongan kaya serta golongan korporat, manakala golongan bawahan mengalami nasib sebaliknya.

"Itu semua kerana perubahan yang berlaku dibawah pimpinan PN. Jadi, bagi kita perubahan itu mendesak dan harus disegerakan.

"Tetapi janganlah menyegerakan sehingga mengorbankan prinsip utuh iaitu perubahan itu mesti dengan maksud kepedulian terhadap pemasalahan rakyat.

"Mesti dengan kesedaran bahawa perubahan ini akan membawa perubahan dalam negara, memberi keyakinan kepada pelabur dan menjana pertumbuhan ekonomi dan ini menjadi persoalan pokok dalam HARAPAN," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments