Wan Azizah pertikai siasatan terhadap bekas timbalannya


BEKAS
menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan Putrajaya tidak melakukan intimidasi politik terhadap ahli Parlimen yang bersuara berkaitan isu rakyat.

Melalui satu kenyataan, Dr Wan Azizah mempersoalkan siasatan polis terhadap bekas timbalannya, Hannah Yeoh susulan satu tweet berkaitan isu perkahwinan bawah umur yang diciapnya tiga bulan lalu.

“Tujuh negeri, iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan menyatakan tidak bersetuju dengan draf membabitkan pindaan Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 dengan menetapkan umur minimum perkahwinan wanita kepada 18 tahun.

“Adakah salah bagi Hannah Yeoh yang turut sama merangka pelan strategi tersebut bertanya mengenai status dan kemajuan pelan tersebut kepada Siti Zailah Mohd Yusoff?” soal Dr Wan Azizah.

Semalam, Yeoh memaklumkan beliau dipanggil Bukit Aman berhubung satu catatan Twitternya 3 bulan lalu mengenai perkahwinan bawah umur.

“Saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan bagi siasatan mengenai tweet ini. Sekarang ini, tanya soalan pun tak boleh,” katanya dalam catatan Twitter tersebut.

Pada 9 Mac lalu, Yeoh mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

Soalan itu dilontarkan selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan dan melantik Siti Zailah daripada ahli Parlimen Rantau Panjang sebagai penggantinya.

Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur dilancarkan pada Januari lalu untuk memastikan peraturan, garis panduan dan undang-undang di peringkat negeri berhubung perkara itu sejajar dasar persekutuan.

Pelan itu mengandungi program dan tindakan untuk menangani 6 faktor yang dikenal pasti sebagai punca perkahwinan kanak-kanak seperti kemiskinan dan kekurangan akses kepada pendidikan.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid sebagai berkata Yeoh bakal disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PN tidak boleh ditegur?

Siang tadi Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor Marina Ibrahim menyuarakan rasa simpati terhadap Yeoh yang disoal siasat berkenaan ciapan itu.

Marina turut mempersoalkan sama ada kerajaan PN tidak boleh menerima teguran atau pandangan terhadap beberapa perkara.

“Adakah kerajaan kini adalah kerajaan yang tidak boleh dibidas dan ditegur? Adakah bertanyakan soalan untuk memastikan hak kanak-kanak terlindung juga menjadi satu kesalahan?” katanya menerusi satu kenyataan.

Post a Comment

0 Comments