Anwar diisytihar Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia


PERDANA MENTERI , Datuk Seri Anwar Ibrahim diisytiharkan sebagai Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).

Pengisytiharan tersebut disempurnakan pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Mejar Jeneral (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.

Pengisytiharan itu juga selaras dengan Prosedur Organisasi dan Pindaan (POR) pindaan 27 Mac 2010, Bahagian II, Seksyen 1 iaitu perdana menteri adalah presiden agung PPM.

Mohd Zin berkata pengisytiharan Anwar sebagai presiden agung dapat mengangkat imej PPM ke tahap yang lebih tinggi sekali gus memperkukuhkan lagi peranan pergerakan kepengakapan tanah air sebagai organisasi pendidikan tidak formal terbesar di negara ini.

“Semoga pelantikan ini dapat menarik ahli-ahli muda di peringkat universiti dan sekolah menyertai pengakap kerana kita ada sistem latihan yang mantap,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Turut hadir adalah Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Ahmad Shazily Ismail Bakti dan Bendahari Majlis Pengakap Negara Abdullah Taib.

Anwar terima Anugerah Bintang Semangat Padi Emas
Pada pertemuan itu, Anwar turut menerima Anugerah Bintang Semangat Padi Emas iaitu anugerah tertinggi PPM yang eksklusif diberikan dalam kalangan pemimpin negara dan negeri-negeri.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN dalam catatan di Facebooknya merakamkan penghargaan atas pengisyhtiharan da anugerah disampaikan.

Beliau turut mendoakan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Persekutuan Pengakap Malaysia.

"Mudah-mudahan terus memberi sumbangan membina nilai murni kepada anak bangsa Malaysia," katanya.



Post a Comment

0 Comments