PM Anwar terima kunjungan hormat Menteri Luar Korea Selatan



MENTERI LUAR Korea Selatan Park Jin mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra pada Selasa.

Kunjungan yang disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir itu bersempena lawatan lawatan kerja Park selama dua hari yang berakhir semalam.

"Semasa pertemuan tersebut, kami telah berbincang mengenai isu-isu yang berkepentingan bersama termasuk kerjasama dalam sektor ekonomi, pertahanan, pembangunan infrastruktur, pengangkutan, tenaga boleh baharu serta bersependapat untuk meningkatkan semula pertukaran lawatan di peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.

"Selain itu, kami juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan geopolitik," kata Anwar dalam catatan di laman Facebooknya.

Sementara itu Wisma Putra dalam kenyataan yang menyentuh pertemuan itu berkata, lawatan Park akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk menaik taraf hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, berlandaskan prinsip kepentingan bersama, saling percaya dan kesalinghubungan sesama rakyat.

Lawatan itu juga bertepatan dengan sambutan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) oleh Malaysia dan Korea Selatan.

Korea Selatan rakan rapat dan penting Malaysia
Sebagai rekod, Korea Selatan dianggap salah satu rakan rapat dan penting bagi Malaysia.

Republik itu merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan pada 2022 bernilai RM114.21 bilion.

Korea Selaran juga merupakan pelabur asing ketujuh terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk projek yang dilaksanakan bernilai RM33.0 bilion (US$9.25 bilion).

Post a Comment

0 Comments