Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia


PENDAKWAH terkenal tanah air, Datuk Ismail Kamus  menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.30 tengah malam di kediaman beliau di Ampang.

Berita pemergian tokoh ternama tanah air itu dikongsi oleh Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia menerusi laman Facebook rasmi kira-kira 10 minit lalu.

Tokoh pendakwah tanah air dan Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Tuan Guru Dato' Ismail Kamus telah kembali ke rahmatullah Jam 12.30 pagi, 8 Mei 2020 di kediaman beliau di Ampang.

"Semoga Allah SWT menempatkan beliau ditempat yang mulia di sisi Allah SWT ta'ala," kata kenyataan itu.

Allahyarham yang berusia 72 tahun sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.

Exco Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebagai rekod, Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor, beliau terkenal sebagai perunding motivasi dan pendakwah bebas yang bukan hanya terkenal di tanah air.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma'ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Post a Comment

0 Comments