Menteri mana sebenarnya bertanggungjawab dalam skandal LCS?

 


SIAPAKAH menteri pertahanan yang sebenarnya bertanggungjawab dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan kontrak bernilai RM9 bilion itu, soal seorang vateran politik.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata sejak tahun 1990, Malaysia mempunyai sembilan orang menteri pertahanan iaitu Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussin yang dua daripadanya menggalas jawatan itu sebanyak dua kali.

"Yang manakah daripada sembilan menteri pertahanan Malaysia sejak tahun 1990 ini yang bertanggungjawab ke atas skandal mega perolehan ketenteraan LCS yang melibatkan RM9 bilion?" soalnya.

Mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang menegaskan adalah "tidak adil" untuk mengaitkannya dengan skandal itu, Kit Siang kembali mempersoalkan apakah Ahmad Zahid cuba menyalahkan Hishammuddin yang merupakan menteri pertahanan selepasnya dari Mei 2013 sehingga Mei 2018 atas kelemahan dalam projek berkenaan.

Walaupun Zahid sebelum ini berkata dia bukanlah menteri pertahanan semasa kontrak berkenaan dimeterai pada 17 Julai 2014, Kit Siang membangkitkan isu perubahan reka bentuk LCS yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti didedahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

"Keputusan Ahmad Zahid sebagai menteri pertahanan pada 2011 dalam masa tiga hari untuk mengubah keputusan untuk memperoleh LCS Sigma kepada LCS Gowind masih menjadi salah satu misteri terbesar dalam sejarah enam dekad kerajaan Umno-BN," ujarnya.

PAC baru-baru ini mendedahkan Putrajaya sudah membayar RM6 bilion kepada kontraktor yang dilantik bagi pembinaan LCS, namun sehingga kini tiada satu pun kapal berjaya disiapkan dan diserahkan kepada TLDM.

Antara yang dipertikai adalah tindakan menukar reka bentuk dari SIGMA daripada Belanda yang pada asalnya dipersetujui kepada GOWIND susulan cadangan dan syor kontraktor iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Naval Group.

Yang bersalah perlu dihadapkan ke Mahkamah
Dalam kenyataanya juga Kit Siang berkata, Hishamuddin masih belum mendedahkan apa yang dilakukannya sebagai menteri pertahanan sehingga Mei 2018 untuk memastikan proses perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan tidak berakhir sebagai satu bencana dan skandal kewangan.

"Namun dia mempunyai peluang sekali lagi sebagai menteri pertahanan (kini) untuk memperbetulkan kesilapan lampau untuk memastikan Malaysia akan menerima penghantaran keenam-enam LCS memandangkan tidak ada satu pun LCS yang siap walaupun pembayar cukai membayar sejumlah RM6 billion," katanya.
 
 

Post a Comment

0 Comments