PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu menempelak cubaan parti politik pembangkang yang cuba 'merampas' kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di tengah jalan untuk membentuk sebuah kerajaan baru.
Menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut, Mohamad Sabu berkata, mereka sepatutnya mengikut amalan demokrasi yang baik.
“Pada 2004 apabila Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, PAS mahu menyertai Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan, tetapi bekas mursyidul am parti itu, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat membantah idea itu kerana PAS berada dalam Pakatan Rakyat pada masa itu.
“Apabila Najib (Razak) menjadi perdana menteri, PAS juga mengambil langkah untuk menyertai kerajaan, tetapi ia tidak berlaku. Sekarang ia (PAS) melakukannya sekali lagi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dipetik.
Tambah Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi, sekiranya yakin mendapat sokongan rakyat, parti pembangkang sepatutnya menunggu pilihan raya umum dan tidak menggunakan “tingkap” atau “pintu belakang”.
“Semuanya ombak besar dalam politik, tetapi ia bersifat sementara. Pakatan Harapan masih relevan dan kuat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah menunaikan 60% janji pilihan rayanya, bagaimanapun rakyat tidak sedar dan pemimpin parti perlu pergi ke akar umbi untuk menjelaskan pencapaian tersebut.
Sementara itu katanya, mesyuarat Majlis Presiden PH Jumaat lepas bersetuju memberi kuasa penuh kepada Mahathir untuk menentukan tarikh beliau akan berundur sebagai perdana menteri bagi membuka jalan kepada peralihan kuasa kepada presiden KEADILAN Anwar Ibrahim.
Namun suasana politik di Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi memberi isyarat ke arah bertentangan.
0 Comments