Khalid Ibrahim meninggal dunia, bakal disemadikan di Makam Di-Raja


BEKAS MENTERI BESAR Selangor, Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur jam 11.08 malam tadi.

Melalui kenyataan dikongsikan pengendali laman Facebook rasminya, Khalid, 76, meninggal dunia  selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Beliau kemudian dilapor menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 24 Julai.

Sementara itu jenazah Allahyarham dijadualkan untuk dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

"Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

"Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj jenazah akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.

"Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT khusus buat Allahyarham semoga Allah SWT memperkenan doa kita," kata hantaran di Facebook itu.

Khalid terkenal sebagai ketua pegawai eksekutif Permodalan Nasional Berhad selepas dia melancarkan "serbuan subuh" di Bursa Saham London untuk memperoleh pegangan majoriti dalam ladang Guthrie milik British di Malaysia pada 1981.
 
Allahyarham menyertai KEADILAN pada 2006, dan dua tahun kemudian menjadi Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat ketika itu menawan Selangor.

Beliau membangun reputasi sebagai pentadbir yang berjimat cermat selain memulakan usaha untuk menstruktur semula industri air Selangor.

Bakal disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam
Abdul Khalid bersara daripada arena politik selepas mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam satu kenyataan pada 7 Februari 2018.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.
 

Post a Comment

0 Comments