Steven Sim buktikan sumbangan bukan lakonan


AHLI PARLIMEN DAP, Steven Sim "membuktikan" sumbangan motosikal kepada penghantar makanan Anas Hazmi Ahmad yang dikongsikannya baru-baru ini bukan lakonan.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu yang menerima pujian banyak pihak susulan tindakanya membantu ramai orang termasuk seorang penghantar makanan berusia 22 tahun itu tampil mengadakan sidang media bagi menjawab serangan  pengkritik, termasuk ahli akademik kontroversi Kamarul Zaman Yusoff yang mempertikai pertolongan tersebut.

Kamarul mengkritik Sim kerana menghebahkan pertolangannya di media sosial dan memperingatkan umat Islam supaya berhati-hati menerima bantuan "mubaligh Kristian."
 
Bertindak seolah-olah  meragui kebenaran sumbangan tersebut, dia baru-baru inimenawarkan "hadiah" bernilai RM2,000 kepada sesiapa sahaja yang dapat mendedahkan maklumat peribadi penghantar makanan itu yang menerima sumbangan motosikal dari Steven.

Bercakap kepada media di pusat khidmat Sim di Bukit Bukit Mertajam  semalam, remaja tersebut Anas Hazmi Ahmad mengesahkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam  itu telah menyumbangkan sebuah motosikal kepadanya.

Sebagai bukti, beliau turut menunjukkan pengesahan pendaftaran motosikal jenis Honda Dash berwarna oren yang didaftarkan atas namanya pada 14 April lalu.

Motosikal tersebut turut dibawa pada sidang media itu untuk mengesahkan kewujudannya.

Steven sebelum ini menyumbangkan motosikal itu kepada Anas setelah mengetahui remaja itu menjalankan kerja sampingan menghantar makanan dengan basikal yang dipinjam untuk menampung kehidupannya memandangkan beliau memperoleh pendapatan RM500 sebulan.

Remaja dari Kelantan itu terus melakukan dua pekerjaan walaupun pada bulan puasa di bulan Ramadan.

Sementara itu dalam sidang media tersebut Anas turut menyatakan rasa kecewa kerana difitnah dan cuba dimalukan.

Jelasnya, sejak awal beliau sendiri meminta agar Steven tidak mendedahkan identiti sebenarnya

"Saya telah meminta Steven jangan mendedahkan identiti saya selama ini.

"Saya berasa amat kesal ada yang sanggup menawarkan wang RM2000 (untuk maklumat butiran diri saya) seperti penjenayah

"Terima kasih kepada media bersungguh-sungguh melindungi diri saya walaupun diserang dan dituduh macam-macam.

"Harap orang ramai menghentikan tindakan fitnah ke atas saya dan YB Steven dan membenarkan saya meneruskan kehidupan tanpa gangguan sebegini," kata remaja itu lagi.

Dalam sidang media itu juga,  Steven mengecam pengkritiknya kerana melibatkan Anas dalam serangan politik mereka terhadap dirinya.

Malah tindakan pelampau meletakkan 'harga atas kepala' seorang penerima bantuan jelasnya tindakan melampau yang boleh merosakkan masyarakat.

"Saya orang politik. Dia nak serang saya hentam saya, nak lawan saya, saya terima.
Apa yang saya tidak boleh terima ialah dia meletakkan 'harga atas kepala' seorang penerima bantuan. Itu sudah melampau.

"Apabila buat sedemikian ke atas orang yang ditimpa kesusahan. Itu dah melampaui batas," tegas Steven lagi.

 Pengkritik sebelum ini turut mempersoal harga motosikal itu yang didakwa terlalu murah.

Anas kecewa dengan tohmahan pengkritik
Walau bagaimanapun Steven  mengakui beliau memperuntukkan kira-kira RM4,000 untuk membeli motosikal itu dengan baki selebihnya disumbangkan oleh penderma lain yang enggan dikenali.

Selain isu harga motosikal. Steven juga hairan apabila ada pihak yang memuat naik geran motosikal palsu dalam Facebook yang kononnya dimiliki oleh seorang lelaki berbangsa Cina bagi memberi memberi gambaran kononnya sumbangan motosikal itu hanya lakonan dan tidak pernah berlaku.



Post a Comment

0 Comments