KUMPULAN hak asasi Artikel 19 menyifatkan siasatan terhadap kartunis Zunar sebagai bukti kerajaan tidak dapat menerima kritikan orang ramai.
Perkara itu dinyatakan pegawai program Malaysia Artikel 19, Nalini Elumalai yang dipetik laporan FMT.
“Penindasan terhadap artis seperti Zunar dan (pereka grafik) Fahmi Reza menyekat ekspresi kreatif, wacana awam dan menjejaskan kepercayaan terhadap pihak berkuasa Malaysia.
“Siasatan terhadap Zunar adalah satu lagi contoh kerajaan Malaysia tidak dapat menerima kritikan awam,” katanya.
Nalini sebelumnya mengulas siasatan terhadap Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Alhaque yang didakwa melakukan penyalahgunaan Internet dan perbuatan khianat susulan lukisan karikaturnya yang menyerupai Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu pembatalan cuti peristiwa bagi Thaipusam di negeri itu Januari lalu.
Tindakan Sanusi membatalkan cuti peristiwa bagi Thaipusam tahun ini akibat perintah kawalan pergerakan mencetuskan kritikan dalam kalangan pemimpin politik berbangsa India daripada kerajaan dan pembangkang.
Kumpulan hak asasi turut mengkritik keputusan itu yang disifatkan sebagai tindakan jahil yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.
Terdahulu, Zunar dilapor berkata, beliau diminta hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap pada 2 Mei ini
Beliau disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.
Karikatur itu menggambarkan Sanusi dengan sebilah pisau potong daging memotong di tengah-tengah sebuah meja bulat, mengejutkan rakyat pelbagai kaum di sekitarnya.
Perkataan “Tiada cuti Thaipusam” tertera di permukaan pisau itu, dengan keterangan ringkas: “Orang Kedah hidup aman damai sebelum dia ni mai.”
![]() |
Zunar pertahan karikatur dilukisnya |
Beliau berkata, pembatalan cuti umum Thaipusam menjejaskan struktur sosial yang harmoni di negeri itu.
“Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah Kedah. Dulu, di kampung saya, kami semua hidup dengan harmoni.
“Kenapa nak ganggu kehidupan aman yang kami nikmati selama bertahun-tahun?” soal anak jadi Pendang itu.
Dalam masa sama, Zunar turut menegaskan bahawa karikaturnya terbuka untuk penafsiran dan perasaan rakyat berbeza-beza.
Katanya, rakyat bebas menganalisis karikaturnya, tetapi mereka tidak boleh menganggap pandangan mereka sebagai undang-undang.
Sementara itu Nalini dipetik laporan sama berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia adalah undang-undang utama yang digunakan kerajaan terhadap pejuang hak asasi, aktivis dan rakyat yang mempunyai kaitan dengan politik.
“Dengan penggunaan Akta Komunikasi dan Multimedia secara berulang kali untuk menyasarkan artis dan aktivis, pihak berkuasa memberi isyarat bahawa kritikan dan tentangan politik tidak dibenarkan di Malaysia.” tambahnya.
0 Comments