Koronavirus: 2,499 orang masih dirawat


MALAYSIA 
merekodkan 153 kes positif baharu berkaitan koronavirus (Covid-19) pada Ahad.

Ia menjadikan jumlah kes keseluruhan kes positif itu dinegara ini sebanyak 4,683 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan  sebanyak 131 kes telah pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 2,108 atau 45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,499 kes.

"Sehingga kini, seramai 66 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 37 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiga lagi kematian direkodkan di negara ini sepanjang tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 76 kematian.

Kes kematian ke-74 jelasnya membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Pesakit kes ke-4531 itu telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seramban pada 11 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 1.50 pagi.

"Kes kematian ke-75 (kes ke-3469) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

"Beliau telah dirawat di Hospital Taiping Perak pada 1 April  2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 5.23 pagi," jelasnya.

Sementara kematian ke 76 menurut Dr Noor Hisham membabitkan seorang pesakit perempuan warganegara Malaysia berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi.

Pesakit kes ke-4314 itu menurutnya telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada  8 April  2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 7.36 pagi pagi tadi.

Post a Comment

0 Comments