PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah 18 Jan 2020 dan tarikh penamaan calon pada 4 Jan 2020.
Beliau mengumumkan tempoh berkempen bagi PRK Kimanis ialah 14 hari dan sebanyak 20 pusat mengundi dengan 69 saluran akan dibuka bagi PRK itu.
Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen pilihan raya raya dikemukakan bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.
Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.
Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU-14 lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan berlaku kekosongan kerusi Parlimen Kimanis bermula 10 Disember lalu berikutan penerimaan Perakuan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum bagi parlimen itu, yang disandang Anifah Aman pada 9 Mei 2018 adalah tidak sah dan terbatal.
Difahamkan, seramai 29,664 pemilih layak mengundi pada PRK Kimanis.
0 Comments