SATU pasukan penyelidik dari Australia berpendapat, sebuah lukisan ditemui dalam gua di Indonesia yang menggambarkan senario memburu pada zaman prasejarah mungkin kerja seni kiasan tertua di dunia.
Kajian oleh pasukan dari Universiti Griffith yang diterbitkan dalam jurnal ‘Nature’ awal minggu ini berkata, mereka menganggarkan lukisan berusia itu menunjukkan budaya kesenian yang maju.
Dijumpai dua tahun lalu di Pulau Sulawesi, lukisan seluas 4.5 meter itu memaparkan haiwan liar sedang dikejar oleh pemburu separuh manusia yang kelihatan membawa lembing dan tali.
Dengan menggunakan teknologi penentuan tarikh, pasukan di Universiti Griffith, Australia terbabit berkata ia mengesahkan lukisan gua batu kapur itu berusia sekurang-kurangnya 43,900 tahun pada waktu Paleolitik Atas.
“Senario pemburuan ini – menurut pengetahuan kami – kini merupakan rekod penceritaan bergambar tertua dan kerja seni kiasan paling awal di dunia,” kata penyelidik.
Dalam senario terbaharu yang ditentukan usianya, pemburu digambarkan dalam warna merah gelap dengan badan manusia dan kepala haiwan termasuk burung dan reptilia.
![]() |
Lukisan pra sejarah yang ditemui pengkaji |
“(Senario) itu boleh dianggap bukan sahaja sebagai seni kiasan bertarikh terawal di dunia tetapi juga bukti tertua bagi komunikasi naratif dalam seni Paleolitik,” kata penyelidik menurut laporan AFP.
“Ini patut diberi perhatian, memandangkan keupayaan untuk mencipta cerita fiksyen mungkin peringkat terakhir dan pa-ling penting dalam sejarah evolusi bahasa manusia dan perkembangan corak kognisi ala moden.” tambah mereka.
Penemuan itu itu dibuat selepas satu lukisan seekor haiwan dalam sebuah gua di Pulau Borneo bahagian Indonesia terdahulu ditentukan berusia sekurang-kurangnya 40,000 tahun.
Selama bertahun-tahun, seni gua disangka muncul dari Eropah, tetapi lukisan Indonesia telah mencabar teori itu.
Terdapat sekurang-kurangnya 242 gua atau tempat perlindungan dengan imej purba di Sulawesi sahaja, dan tapak baharu ditemui setiap tahun, kata pasukan itu.
0 Comments