PENGERUSI Parti Amanah negeri Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mendesak kerajaan supaya tidak melayan doktor kontrak seperti pekerja kelas dua.
Menerusi satu kenyataan, Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, AMANAH Negeri Kedah sentiasa akan menyokong kumpulan doktor kontrak dan mereka mendesak kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji semula semua tuntutan dikemukakan kumpulan itu sebelum ini.
“Pada 26 Julai nanti satu lagi titik hitam sejarah negara akan terlakar apabila seramai 23,000 doktor kontrak akan mengadakan mogok tidak hadir bekerja selama satu hari setelah kerajaan merasakan telah wujud lambakan doktor dalam negara.
“Setakat ini Malaysia mempunyai seramai 71,041 doktor perubatan dan 73 peratus atau 51,912 berkhidmat dengan KKM. Manakala seramai 32 peratus atau 23,071 orang merupakan doktor kontrak dan sejak 2016 hanya 786 orang atau 3.4 peratus sahaja telah diserap ke jawatan tetap.
“Pandemik Covid-19 pula telah membuktikan bahawa dakwaan yang mengatakan wujudnya lambakan doktor tidak benar dan negara masih lagi kekurangan doktor perubatan terutamanya di kawasan luar bandar.
"Lambakan yang berlaku ini juga adalah ekoran SPA maupun JPA tidak membuka jawatan baharu untuk diisi kerana faktor kewangan, ” ujar beliau dalam kenyataan.
Terdahulu, kumpulan mewakili doktor kontrak memberitahu bahawa mereka akan meneruskan protes yang dijadualkan berlangsung esok.
Wakil gerakan itu, Dr Umar Baraka yang dipetik laporan Sinar berkata, keputusan itu dibuatmemandangkan pengumuman Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin berhubung lanjutan khidmat kontrak kumpulan itu tidak memenuhi tuntutan mereka.
Gerakan itu sebelum ini menuntut supaya doktor kontrak diberi lantikan tetap dan mendapat manfaat yang sama seperti lantikan tetap.
Mereka turut menggesa diberikan kriteria hitam putih untuk mendapat lantikan tetap kerana merasa bimbang tentang ketelusan kriteria diberikan.
Sementara itu Phahrolrazi dalam kenyataan itu juga berkata bahawa tuntutan dikemuka doktor kontrak bersesuaian dengan satu reformasi secara menyeluruh sistem kesihatan negara.
![]() |
Tingkat sistem kesihatan termasuk sumber manusia |
Sejajar dengan itu ia menyarankan kerajaan supaya segera bertindak dengan menambah baik sistem kesihatan negara dalam semua aspek dan asas penambahbaikan tersebut adalah sumber manusia.
Difahamkan antara doktor kontrak berdepan isu gaji yang kurang, kemudahan yang dinafikan, peluang untuk diserap ke jawatan tetap sangat kecil dan tertutup serta mekanisme yang tidak jelas dan kontrak mereka boleh ditamatkan pada bila-bila masa sahaja.
0 Comments