Perikanan larang tangkap Temalian hingga April


JABATAN
Perikanan Pahang, mengharamkan apa-apa aktiviti penangkapan ikan temalian atau dikenali sebagai ikan temoleh di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman berkata, larangan sehingga April depan itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan spesies ikan tersebut pupus.

"Ikan ini amat berharga sebab itu larangan dibuat. Kita sebenarnya mahu spesies ikan ini terus ada di Sungai Pahang. Kalau tidak dikawal ikan temalian tidak dapat membiak dan spesies bakal berkurangan.

"Jadi kita minta semua pihak supaya mematuhi arahan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan ini," katanya dipetik laporan Sinar.

Difahamkan, tempoh larangan itu adalah waktu dimana musim ikan temalian bertelur di beberapa kawasan di sepanjang sungai negeri ini

Sementara itu tambah Azahari, pihaknya memasang lebih 40 papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai memberi peringatan kepada semua pihak berhubung larangan tersebut.

Tindakan undang-undang tegasnya boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan aktiviti menangkap dan memiliki ikan temalian mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang.

"Individu yang dapati tidak mematuhi larangan boleh dikenakan kompaun RM100 sehingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas," katanya lagi.
 

Post a Comment

0 Comments