SEORANG penganggur didenda RM5,000 atau penjara 3 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memuat naik hantaran jelik bersifat menghina Nabi Muhammad.
Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zahrein Zakariah, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas perbuatan yang dilakukan melalui akaun Facebook miliknya itu.
Mengikut pertuduhan, Mohd Zahrein didakwa secara sedar memulakan hantaran di Facebook dengan membuat komunikasi jelik yang antaranya mengandungi perkataan menghina Nabi Muhammad.
Hantaran dengan niat untuk menyakiti hati orang lain itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 8 Julai lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara yang boleh sampai satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abdul Hadi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan penduduk di Malaysia agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika ingin menyuarakan pendapat di media sosial.
“Hantaran yang dibuat telah dibaca oleh ribuan orang dan telah mendatangkan kemarahan kepada umat Islam di negara ini,” katanya.
0 Comments