Anwar kecam rampasan kuasa di Myanmar


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin-pemimpin dunia dan ASEAN untuk menggembleng suara bagi pembebasan pemimpin-pemimpin Myanmar.

Biarpun terdapat banyak isu berkaitan pencabulan hak asasi manusia melibatkan warga dan masyarakat Rohingnya, ia bukan alasan untuk pihak tentera di negara itu mencetus suasana tegang melalui rampasan kuasa.

Tegas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, demokrasi di Myanmar masih di peringkat permulaan dan tindakan pihak tentera hanya akan membalikkan aspirasi rakyat serta menjerumuskan negara itu ke dalam kediktatoran.

"Pemimpin-pemimpin dunia dan ASEAN harus menggembleng suara dan menggesa untuk pembebasan segera pemimpin-pemimpin Myanmar dan mesti menegakkan negara hukum.

"Setelah berjuang sekian lama, rakyat Myanmar berhasil untuk memungkinkan sebuah perlembagaan dan hak terkait pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, media melaporakan perkembangan di Myanmar yang menyaksikan rampasan kuasa oleh tentera pada awal Isnin dengan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar U Win Myint dan lain-lain pegawai kanan ditahan di ibu kota Naypyidaw.

Tentera Myanmar turut mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Ming Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

 Anwar gesa hormati aspirasi rakyat
Sementara itu, Anwar menegaskan perkembangan terkini di Myanmar sangat merungsingkan.

"Pihak tentera di sana sewajarnya mempertahankan aspirasi demokratik rakyat Myanmar, dan saya menggesa mereka untuk hormat serta lindungi pilihan yang telah dibuat oleh rakyat.

“Perbuatan ini (rampasan kuasa) akan menenggelamkan suara rakyat dan demokrasi," katanya.

Post a Comment

0 Comments