BEKAS ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.
Sebagai calon tunggal Asia, juara dunia sebanyak lapan kali itu, ternyata unggul sebagai pendahulu sejak hari pertama undian dibuka pada 8 Jan lalu apabila menerima 318, 943 undi, kelebihan 200,000 undi daripada pencabar terdekat.
Pencabar terdekatnya ialah legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang memperoleh 113,120 undi diikuti atlet powerlifiting wanita dari Ukraine, Larysa Soloviova, yang berada di tempat ketiga dengan 80,790 undi.
Bekas pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun berturut-turut itu mengatasi 23 atlet lain yang mewakili sukan masing-masing daripada kesemua edisi Sukan Dunia selama 40 tahun itu.
“Ia adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk anugerah ini dan menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy.
"Saya rasa bersyukur dan diharapkan kejayaan ini mampu menarik perhatian dunia terhadap sukan skuasy.
"Saya berbangga dapat mewakili negara saya dan Asia," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA), Jose Perurena mengucapkan tahniah kepada para calon sambil menambah Nicol bertindak sebagai inspirasi dan teladan yang baik kepada atlet muda.
“Saingan ini adalah luar biasa dan bagus untuk melihat bagaimana atlet mendapat sokongan bukan sahaja dari sukan mereka sendiri tetapi juga negara mereka dan pihak berkuasa sukan di sana. Sukan benar-benar menyatukan rakyat dengan cara yang istimewa,” katanya.
Presiden Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) Zena Wooldridge pula berkata kejayaan Nicol adalah pengiktirafan terhadap karier luar biasa yang menyaksikannya mencipta pelbagai rekod dan memenangi semua gelaran yang ditawarkan dalam sukan itu.
![]() |
Nicole sekali lagi membanggakan negara |
Sebagai rekod, anugerah terbabit dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan untuk ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.
0 Comments