BARISAN NASIONAL (BN) mengekalkan status Quo di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada Sabtu.
Berdasarkan keputusan rasmi, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi, manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kimanis, Jupari@Jupry Etok yang juga Pegawai Daerah Beaufort, di pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir pada 9.30 malam.
Keputusan itu sekaligus menafikan hasil kajian badan pemikir Ilham Centre yang melihat Karim Bujang mampu menumbangkan penguasaan BN di kawasan kubu kuat mereka itu.
Ia menyaksikan tiada perubahan bakal berlaku dalam jumlah Ahli Parlimen di dalam dewan rakyat.
Sebagai rekod, PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Terdahulu, proses pengundian bermula 7.30 pagi dan selesai pada 5 petang ini berjalan lancar
Tiada insiden tidak diingini berlaku.
0 Comments