
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad semalam menyampaikan berita gembira buat penjaja di Uptown Danau Kota yang bakal berpindah operasi ke Bazaria Wangsa Maju.
Bercakap dalam satu sidang media, Khalid berkata, penjaja kini bakal menikmati kadar sewa tapak lebih murah apabila urusan sewa tapak itu tidak lagi akan melibatkan urus niaga dengan pihak ketiga.
Menurutnya, Dewan Bandara Kuala Lumpur telah menetapkan kadar sewa untuk ruang niaga di Bazaria itu pada kadar RM225.20 sebulan untuk barangan makanan dan RM212.70 untuk barangan kering.
“Kalau guna orang tengah sekurang-kurangnya (bayaran sewa tapak) dalam kadar RM500 hingga RM1,500 sebulan, pada bulan Ramadan pula sewa berkenaan boleh naik sehingga RM4,000 hingga ke RM5,000.
“Kita nak tentukan penjaja tidak sewa (tapak) dengan harga tinggi, bila mereka sewa dengan orang tengah, kawalan dari sudut sewa itu tidak ada dan hasil itu juga tak masuk pada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), inilah kita nak perbaiki,” katanya.
Difahamkan juga pemindahan tapak niaga itu bagi menyelesaikan isu peniaga tanpa lesen, kesesakan lalu lintas dan masalah sewa melibatkan orang tengah.
Khalid turut menyuarakan keyakinan bahawa tapak penjaja baharu itu dijangka akan dipenuhi penjaja dan pengunjung menjelang akhir Disember ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menjelaskan DBKL akan memberikan pengecualian bayaran sewa tapak selama tiga bulan kepada semua penjaja yang berpindah ke tapak baharu itu, namun pengecualian itu tidak membabitkan bayaran lesen.
0 Comments