Sekolah disaran perkasa proses pembelajaran luar kelas

SEMUA sekolah disaran menyusun semula program lawatan luar bilik darjah bagi memberi pengukuhan kepada proses pembelajaran dan pengajaran luar kelas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata perkara itu selaras pindaan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah tahun lalu.

"Kita beri kebenaran untuk guru-guru merancang lawatan anak-anak. Sebelum ini setiap sekolah hanya dua kali setahun tetapi sekarang setiap anak murid dibenarkan dua kali, jauh beza.

"Kita mahu anak-anak mengikuti pembelajaran di luar kelas supaya perspektif, pengalaman dan kemahiran mereka dapat (diwujudkan) di luar kelas," katanya.

Fadhlina berkata demikian selepas menghadiri Program Warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Pulau Pinang: Rizab Biosfera Bukit Bendera.

Program itu melibatkan murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam, SMK Permatang Tok Jaya dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang.

Sementara itu beliau yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) berkata, KPM dalam proses memperkenalkan semula Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO dalam kalangan murid sekolah.

Beliau yakin program lawatan tapak warisan dunia bukan sahaja meningkatkan minat murid terhadap sejarah, tetapi juga Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) memandangkan biodiversiti antara tajuk yang perlu dikuasai murid.

Setakat ini, KPM telah membuat program lawatan ke Tapak Warisan Dunia UNESCO di Banda Hilir, Melaka diikuti Pulau Pinang hari ini dan seterusnya ke Sabah serta Sarawak.

Terdahulu, Fadhlina dalam ucapannya berkata, Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera yang merangkumi The Habitat serta Bukit Bendera akan menjadi pusat global penting untuk penyelidikan dan pemuliharaan tropika, pendidikan alam sekitar dan amalan terbaik dalam pengurusan sumber semula jadi yang mampan.

Justeru, beliau yakin program lawatan berkenaan akan memberi manfaat dan memupuk kesedaran akan pentingnya mempertahankan dan memulihara khazanah alam semula jadi untuk generasi semasa serta masa depan..
 

Post a Comment

0 Comments