JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mungkin akan menerima aset baharu bagi membantu mangsa bencana.
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata pihaknya bercadang untuk menambah bilangan helikopter bagi digunakan terutama ketika kejadian bencana alam.
Jelas Kamarul Bahrin, mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lalu menetapkan agensi berkenaan menilai keperluan menambah aset terbabit.
“Kita juga akan mengkaji pangkalan udara untuk menempatkan aset terbabit supaya gerakan (menyelamat) lebih efisien dan masa tindak balas lebih cepat.
“Selain itu, kita akan rasionalisasi balik peralatan penyelamatan supaya lebih versatil dan pelbagai guna. Contohnya seperti helikopter terbabit bukan saja boleh digunakan ketika banjir tapi juga bencana lain seperti kebakaran hutan.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan aset yang ada hari ini dan helikopter antara alternatif yang kita putuskan untuk meningkatkan aset sedia ada.
"Malah, aset ini (helikopter) bukan saja boleh digunakan oleh bomba tapi juga agensi penyelamat lain,” katanya selepas satu program di Kuala Nerus semalam.
Sebagai rekod, ketika ini JBPM hanya memiliki lapan helikopter untuk digerakkan di seluruh negara dan jumlah itu masih tidak mencukupi.
Sementara itu, ketika mengulas persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana susulan musim tengkujuh di pantai barat ketika ini, Kamarul Bahrin mengakui lebih banyak aset diperlukan sebagai persediaan.
Susulan itu mereka merancang memindahkan sementara aset seperti kelengkapan lori dan bot dikawasan kurang risiko ke pantai timur.
“Setakat ini, aset yang ada tidak mencukupi. Jadi, kita membuat perkiraan untuk pindahkan aset dari Selangor dan Perak.
“Namun, kita perlu membuat ramalan tepat kerana banjir kini sedang melanda Johor dan gelombang seterusnya dijangka melanda kembali Terengganu dan Kelantan. Jadi, kita perlu selaraskan gerakan dan juga aset untuk operasi bencana,” katanya lagi.
0 Comments