Bedah siasat selesai, Nora redha kematian Alif



HASIL bedah siasat keatas anak penyanyi Nora tidak menemukan sebarang petunjuk pelik yang boleh dikaitkan dengan kematiannya.

Nora berkata, bedah siasat itu yang dilakukan pakar perubatan menunjukkan Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan berada dalam keadaan normal dan tidak ada sebarang masalah serius termasuk aluran darah Allahyarham Alif juga dalam keadaan baik ketika kejadian.

Namun jelasnya, doktor mengakui jantung Allahyarham berada dalam keadaan sedikit lemah dan sedikit membengkak.

“Saluran darah arwah okey... jantungnya dikatakan agak lemah dan gagal berfungsi sepenuhnya. Juga ada kemungkinan seperti membengkak.

“Namun, akhirnya saya reda dan percaya sudah sampai ajal Alif,” kata Nora dalam nada sangat sebak.

Semalam, Anak keduanya itu dilapor meninggal dunia sebaik sampai ke rumah setelah menghantar Nora ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Alif sebelum ini pernah muncul dalam rancangan realiti TV, Mentor, namun gagal melangkah ke peringkat seterusnya.

BACA:
Anak penyanyi Nora meninggal dunia

Mengulas lanjut, Nora berkata, beliau pada awalnya keberatan untuk membenarkan bedah siasat dijalankan keatas jasad anaknya, namun akur kerana mengikut saranan polis dan pihak keluarga.

“Jika diikutkan, saya tidak mahu membenarkan bedah siasat dibuat ke atas Alif. Sama juga ketika suami, Allahyarham Johan Nawawi meninggal dunia, dua tahun lalu.

“Namun, selepas membuat pertimbangan termasuk arwah masih muda dan meninggal dunia di rumah, saya mengikut prosedur polis dan saranan keluarga.

“Saya juga tidak tahu apa yang terjadi ketika itu. Takut juga kalau arwah ambil ubat atau apa-apa yang memudaratkan.

“Alhamdulillah, hasil siasatan, tiada apa yang pelik timbul (sebagai punca kematian). Saya berpuas hati dengan apa yang dilaporkan pihak hospital,” katanya ditemui di Masjid Kampung Tunku .

Sebaik selesai proses bedah siasat di Puat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), jenazah Allahyarham Alif dibawa ke Masjid Kampung Tunku untuk disolatkan.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam bukit Kiara berdekatan dengan pusara arwah ayahnya, Johan Nawawi yang meninggal pada 2017.
 

Post a Comment

0 Comments