Pahang pula anjak waktu solat Subuh


WAKTU Solat subuh bagi seluruh negeri Pahang kini dilewatkan dengan tambahan lapan minit

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

Perubahan itu hanya melibatkan waktu solat Subuh sahaja dan berkuatkuasa bermula hari ini dan membabitkan semua daerah negeri Pahang.

Melalui surat rasmi berhubung perkara itu bertarikh hari ini, semua Kadi Daerah diminta memberi penerangan dan makluman di masjid dan surau di bawah pentadbiran masing-masing.

Sebelum ini, Selangor dan Wilayah Persekutuan telah melaksanakan perubahan waktu solat Subuh, malah mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 yang bersidang pada hujung bulan lalu turut mengsyorkan semua negeri mengambil pendekatan serupa.

Mesyuarat itu bersetuju bahawa permulaan waktu solat subuh di negara ini adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk yang menyebabkan kepada perubahan waktu solat berkenaan.

Post a Comment

0 Comments