MPPK diaktifkan, bekas KP Pendidikan dilantik Pengerusi


BEKAS Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2023-2025.

Perkara itu diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui satu siaran media pada Khamis.

Turut dilantik menganggotai majlis itu adalah lapan tokoh dan individu yang mempunyai kepakaran dan latar belakang yang pelbagai dalam bidang masing-masing.

"Pengalaman luas beliau (Amin) dalam bidang pendidikan dengan dibantu gabungan mantap lapan ahli MPPK lain, diyakini dapat memikul amanah membantu mengemudi sektor pendidikan negara dengan mengemukakan idea bernas yang membuka laluan ke arah pembaharuan, kesepaduan dan pendemokrasian pendidikan," kata kenyataan itu.

Tokoh lain yang dilantik sebagai anggota majlis tersebut adalah Prof Dr Omar Yaakob, Datuk Dr Mehander Singh Nahar Singh, Prof Datuk Dr Inayah Ya'akub, Mohd Abd Aziz Mahmud, Aminuddin Awang, Rusilawati Mohd Salleh dan Chee Poh Kiem.
 
Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin akan bertindak sebagai Timbalan Pengerusi bagi MPKK.

Sementara itu KPM dalam kenyataan berkata, isu bebanan tugas guru menjadi tumpuan utama MPPK untuk diperhalusi sebelum cadangan penyelesaian terbaik bagi menanganinya dikemukakan kepada Menteri Pendidikan untuk dipertimbangkan.

Kementerian berazam untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan sentiasa terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan bagi menjadikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia daripada segi kualiti untuk memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara.

"MPPK berperanan menasihati menteri (Pendidikan) berhubung apa-apa isu pendidikan yang dirujuk oleh menteri kepada MPPK dengan mengemukakan syor berkaitan," kata kenyataan yang turut memberitahu, keanggotaan majlis itu berdasarkan lantikan Menteri Pendidikan.

MPPK berperanan nasihati menteri
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu sidang media khas pada 15 Disember lalu menjanjikan untuk mengaktifkan semula MPPK seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.

Jelasnya pendekatan lebih holistik melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak berkepentingan itu penting bagi mendapat idea dan pandangan dalam merangka serta menambah baik hala tuju pendidikan negara.


 

Post a Comment

0 Comments