Penganalisis ramal PN tak akan berjaya rampas Selangor

 


PENGANALISIS POLITIK meramalkan Selangor akan terus ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Pandangan itu hadir selepas Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi pada 16 Januari lalu menyuarakan keyakinannya bahawa Perikatan Nasional (PN) berpeluang cerah merampas negeri itu.

Menurut Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, HARAPAN bukan sahaja akan mengekalkan pentadbiran di negeri itu, malah beliau menjangkakan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang menjadi tunjang kepada kerajaan negeri akan meraih lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya lalu.
 
Pandangan itu bukan sahaja disandarkan kepada prestasi pentadbiran negeri, tetapi jelasnya pengaruh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini telah diangkat sebagai Perdana Menteri.

"Penerimaan positif umum terhadap presiden parti, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan memastikan KEADILAN mampu menambat hati pengundi," katanya dipetik laporan.

Sementara itu, ketika mengulas perkembangan politik semasa yang menyaksikan berlaku kerjasama antara blok HARAPAN dan Barisan Nasional, Awang Azman dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara percaya gandingan kedua-dua pihak itu mampu menyekat PN di Selangor.

Awang Azman walau bagaimanapun berpendapat perkara itu bergantung kepada sejauh mana dua gabungan berkenaan mampu bekerjasama.
 
Sementara menurut Azmi, walaupun beliau percaya kerusi HARAPAN boleh terus dipertahankan, namun PN masih berpeluang merampas kerusi milik BN di Selangor.

Ia jelasnya susulan parti itu kini berada dalam keadaan paling lemah dalam sejarahnya dengan pecah belah antara kelompok yang mendesak perubahan kepimpinan.

"Apa yang berlaku baru-baru ini dalam Perhimpunan Agung Umno, saya rasa Bersatu mampu memenangi beberapa kerusi di negeri itu, tetapi bukanlah sehingga menggulingkan kerajaan negeri kerana saya percaya HARAPAN dan BN akan bekerjasama dengan baik dari segi pembahagian kerusi,” katanya.

KEADILAN dijangka tambah kerusi dimenangi
Beliau sementara itu meramalkan BN akan mengekalkan empat kerusi dimenangi dalam PRU14 iaitu Hulu Bernam, Sungai Burong, Sungai Panjang dan Sungai Air Tawar.

Manakala kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor (Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali) serta Sungai Besar (Sungai Panjang dan Sekinchan) yang menyaksikan kemaraan PN pada PRU lalu akan menyaksikan pertandingan sengit.

Post a Comment

0 Comments