PAC bakal siasat 3 isu kewangan termasuk libatkan Muhyiddin


JAWATANKUASA
Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan ia akan menyiasat 3 isu di bawah Kementerian Pertahanan, Pengangkutan dan Pendidikan.

Ketua PAC Wong Kah Woh berkata, satu daripada isu yang akan disiasat ialah membabitkan projek 1BestariNet yang dikaitkan dengan Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, PAC memutuskan untuk mengadakan prosiding itu selepas diberikan taklimat oleh Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Ambrin Buang.

“Kita berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu untuk dibawa dalam prosiding jawatankuasa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, projek 1BestariNet bermula 2011 pada kos RM2.7 bilion, ia Dilancarkan Menteri Pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Objektif 1BestariNet bertujuan melengkapkan 10,000 sekolah di seluruh negara dengan akses internet berkelajuan tinggi 4G dan platform pembelajaran maya (Virtual Learning Enviroment).

PAC siasat kelemahan projek
"JKSUPKK  melaporkan dalam analisisnya mengenai kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek ini tidak tercapai," tambahnya.

Terdahulu pada tahun 2016, PAC telah menyiasat projek tersebut dan salah satu penemuannya adalah YTL telah membayar sewa jauh lebih rendah untuk tapak menara telekomunikasi berikutan "campur tangan" oleh menteri bagi pihak konglomerat.

Siasatan terbaharu ini dipercayai akan secara khusus mengkaji apa yang berlaku antara 2011 dan 2019, di mana sejumlah RM2.71 bilion dibelanjakan.

Isu di Kementerian Pertahanan


Sementara itu, dua isu lain yang akan disiasat PAC ialah  berkenaan pelaksanaan pertukaran tanah (land swap) dari tahun 1995 hingga 2018 di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) dari 2012 hingga 2018 di bawah kementerian pengangkutan.

Katanya, PAC dimaklumkan isu dalam perjanjian pertukaran tanah itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian akibat kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan.

Wong berkata, saksi pertama untuk isu itu ialah ketua setiausaha Kementerian Pertahanan yang akan dipanggil memberikan penjelasan pada 30 Nov ini.

“Selepas prosiding ini, PAC Parlimen akan membuat keputusan sama ada untuk memanggil saksi lain yang terlibat dalam isu berkenaan.” jelasnya.

Mengenai AES, katanya, isu itu membabitkan kewajaran pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM555 juta terhadap pengambilalihan syarikat konsesi AES yang mana pelaburan asal syarikat itu hanya berjumlah RM40 juta.

 

Post a Comment

0 Comments