Oleh: HASSAN ABDUL KARIM | Pepatah Melayu ada berkata: “Terlajak perahu boleh diundur; terlajak cakap buruk padahnya.”
Tetapi inilah yang berlaku di Beijing di akhir lawatan dua hari Menteri
Luar Malaysia, Hishammuddin Hussein ke China, baru-baru ini.
Dalam satu sidang akhbar bersama Menteri Luar China, Wang Yi, Hishammuddin memanggil China sebagai “abang besar (big brother)”.
Dengan pantas, Menteri Luar China membalas. “Kita adik beradik” kata Wang Yi.
Hishammuddin sebagai seorang wira ataupun frontliner di barisan hadapan
yang sepatutnya menjaga maruah dan kedaulatan Malaysia telah gagal dalam
tugas hakikinya.
Mungkin dengan layanan mesra dan hospitaliti
tuan rumah China yang tidak ada tolok bandingnya, mewarisi Empire
silamnya yang bijak berdiplomasi sejak zaman Marco Polo lagi, maka
menteri luar Malaysia, anak bangsawan dari Johor itu kecundang dan
melutut, lalu mengakui bahawa Malaysia ini sebagai adik kecil China,
jika pun tak sampai ke tahap boneka.
Hishammuddin perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia. Meletakkan jawatan menteri luar mungkin terlalu berat baginya.
Sekurang-kurangnya
anak bekas perdana menteri ketiga itu wajarlah meminta maaf. Mengapa
Hishammuddin Hussein perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia?
Ini penjelasan dari saya.
Pertama,
masakan sebagai menteri luar, Hishammuddin tidak sedar bahawa China
telah melakukan banyak kali pencerobohan ke dalam perairan Malaysia di
Sarawak yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa sebagai perairan
negara kita?
Kedua, sebagai menteri luar, tidak mungkin
Hishammuddin tidak tahu bahawa China tidak mengiktiraf Zon Ekonomi
Eksklusif Malaysia.
Tidak munasabahlah untuk kita rakyat biasa
perlu memberitahu Hishammuddin bahawa kebanyakan telaga minyak, pelantar
minyak, sumber pertoleum dan gas asli Malaysia yang dicarigali oleh
Petronas berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif negara kita?
Ketiga,
masakan menteri luar, Hishammuddin cepat lupa bahawa kuasa besar China
sekarang mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah miliknya.
Malaysia juga menuntut beberapa kepulauan di Laut China Selatan ini. Bagaimana kita hendak dipandang bermaruah oleh China jika Malaysia jadi adik kecil kepada abang besar China?
Keempat, Hishammuddin sebagai menteri luar tentu seorang menteri yang cerdik dan arif tentang sejarah.
Kelima,Hishammudin Hussein tentu masih ingat bahawa pertubuhan Aseantelah dibentuk lebih kurang 50 tahun yang lalu sebagai suatu zon yang aman, bebas dan berkecuali (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) atau ringkasnya Zopfan.
Prinsip Zopfan
ini secara tepatnya dibentuk pada tahun 1967. Antara pelopornya ialah
tiga orang menteri luar di Asia Tenggara, iaitu Tun Abdul Razak
(Malaysia), Adam Malik (Indonesia) dan Carlos Ramulo (Filipina).
Jadi,
Hishammuddin Hussein janganlah rosakkan prinsip Zopfan yang penting ini
yang telah berdekad-dekad menolong menjadikan rantau Asia Tenggara ini
kawasan yang aman.
Sebagai menteri luar Malaysia, tentunya
Hishammudin tidak perlu diingat-ingatkan bahawa di rantau Asia Tenggara
inilah kemungkinan besar sengketa ketenteraan antara Amerika Syarikat
dengan China akan berlaku.
![]() |
Tidak mahu M'sia terheret dalam sengketa |
Jadi, ingatlah bidalan Melayu, "kerana pulut santan binasa".
Kita
tidak mahu kerana mulut menteri luar kita yang tidak cermat, Malaysia
akan terheret ke dalam sengketa dua kuasa besar Amerika Syarikat dan
China.
HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang, Johor yang mewakili Pakatan Harapan
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia
0 Comments