Selangor serius tangani pencerobohan hutan


TIGA
individu ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Perhutanan Selangor yang disertai pelbagai agensi kerajaan kerana menceroboh Kompatmen 14 Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata dalam operasi pada Rabu itu, dua kandang lembu dan satu kandang kambing serta sebuah pondok yang dibina tanpa kebenaran turut dirobohkan.

“Individu yang disyaki melakukan kegiatan pencerobohan hutan ini membina kandang-kandang serta pondok untuk menternak sejumlah lembu, kambing, ayam, itik dan angsa.

"Operasi bersepadu itu dijalankan selepas penceroboh (hutan simpan) gagal mengosongkan premis terbabit setelah notis terakhir diberikan pada Februari lepas.

"Aktiviti ternakan yang dijalankan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 32(1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985," katanya dalam kenyataan.

Selain Jabatan Hutan, operasi bersepadu itu turut disertai agensi Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor serta Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Difahamkan, ia turut melibatkan 200 kakitangan berkaitan.

Menurutnya, operasi bersepadu itu menunjukkan kerajaan negeri amat serius menangani isu penerokaan hutan simpan tanpa kebenaran dan tidak akan berkompromi dalam perkara tersebut.

Difahamkan, semua yang terbabit kini  disiasat mengikut Seksyen 32(1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Mereka, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
 

Post a Comment

0 Comments