DUTA Besar Malaysia ke Thailand, menyarankan rakyat negara ini yang merancang untuk melancong ke negara jiran itu mengambil perlindungan insuran perjalanan dan perubatan.
Datuk Jojie Samuel yang menjangkakan ramai rakyat Malaysia akan melancong ke selatan Thailand sempena cuti ini berkata, perlindungan insuran itu penting untuk mengelakkan pelancong malaysia membayar kos yang tinggi sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
“Kami nasihatkan rakyat Malaysia untuk lebih berhati-hati menjaga barangan peribadi terutamanya pasport.
“Dapatkan insurans perjalanan dan perubatan walaupun untuk tempoh percutian yang singkat ke Thailand. Mereka yang mempunyai keluarga besar boleh mengambil insurans berkelompok yang menawarkan perlindungan perubatan.
“Jangan ambil mudah perkara ini (insurans perubatan dan perjalanan). Kami tidak mahu mereka jatuh sakit tetapi selalunya, apa-apapun boleh berlaku. Terdapat kes rakyat Malaysia yang dimasukkan ke hospital,” katanya dipetik bernama.
Jojie juga menggesa rakyat Malaysia terutamanya mereka yang memandu ke selatan Thailand supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan memandu pada waktu malam.
Bagi mereka yang menyewa kereta untuk melakukan perjalanan di sini, beliau berkata pemandu harus pastikan kenderaan itu diinsuranskan sepenuhnya.
“Ambil insurans pihak pertama yang melindungi pemandu dan kenderaan serta individu lain yang terlibat dalam kemalangan. Pemandu Malaysia biasanya mengambil insurans pihak ketiga yang tidak melindungi mereka, hanya pihak lain. Ia hanya perlu buat penambahan sedikit, jadi adalah lebih baik ambil insurans pihak pertama,” katanya.
Bagi bantuan segera, pelancong Malaysia boleh menghubungi Hotline Polis Pelancongan Thailand di talian 1155 atau pergi ke Pusat Bantuan Pelancongan Thailand berhampiran.
Sekiranya berlaku kecemasan (selepas waktu pejabat) hubungi pegawai bertugas di kedutaan iaitu di talian: +668 7028 4659 dan alamat kedutaan adalah: 33-35 South Sathorn Road Tungmahamek, Sathorn Road, Bangkok.
0 Comments