Apex Tajudin juara Mentor Milenia 2019


PROTEGE Hazama, Apex Tajudin diumumkan juara Mentor Milenia 2019.

Pada pusingan akhir yang berlangsung di Sri Pentas ‪2, Plaza Alam Sentral‬, Shah Alam, malam tadi, Apex atau Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tajuddin, 23, menyampaikan dua buah lagu iaitu Merisik Khabar nyanyian asal Sudirman Hj Arshad dan duet bersama Hazama menerusi lagu Fantasia Bulan Madu serta Langit dan Bumi.

Peserta dari terengganu itu menewaskan tiga finalis lain yang tidak kurang hebat iaitu Aedy Kama yang juga protege kepada Black, Daus Husny (Ernie Zakri) dan Rika Riana (Stacy).

Kemenangan itu sekali gus melayakkan peserta dari Terengganu itu .bersama mentornya, Hazama menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan sebuah motor Benneili RFS 150i beserta trofi

Selain itu, Apex bakal menjalani penggambaran video muzik video muzik yang menjadi runut bunyi bagi sebuah drama terbitan TV3. Sebagai ganjaran tambahan, Apex diberi tempoh promosi slot televisyen (TV) dan radio bernilai RM500,000.

Apex juga akan menjayakan dokumentari pendek berkisar perjuangannya dalam program realiti berkenaan yang akan disiarkan dalam saluran YouTube TV3.

Mengulas kemenangannya, Apex percaya kejayaan diraih adalah rezeki anak lelakinya yang berusia enam bulan.

“Saya tidak pernah merahsiakan status diri yang sudah berkahwin sejak setahun lalu. Selama ini, saya berkongsi foto isteri dan anak di Instagram.

“Saya takkan lupa diri. Saya tak malu mengaku pernah menjual nasi lemak hasil air tangan isteri dan dan ibu mentua.

“Saya mahu buktikan kejayaan ini mampu mengubah nasib diri dan keluarga... Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Daus Husny memenangi tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 besertq trofi, manakala tempat ketigapula milik Aedy Kama dengan hadiah wang tunai RM20,000 beserta trofi.

Manakala, Rika Riana di tempat keempat turut menerima wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi.

Persembahan empat peserta dinilai oleh juri tetap Datuk Syafinaz Selamat dan Altimet, selain Faizal Tahir sebagai juri jemputan.

Juri profesional mewakili 60 peratus daripada markah keseluruhan, manakala 40 peratus lagi daripada undian juri awam.
 

Post a Comment

0 Comments