Saya tak minat sokong Muhyiddin - Natrah


SEORANG Ahli Parlimen KEADILAN mendakwa cuba dipujuk dua individu termasuk seorang bergelar “Datuk Seri” supaya memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Natrah Ismail  (Sikijang) berkata, beliau dijanjikan manfaat jika bersetuju untuk berpaling tadah daripada KEADILAN.

"Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, serta manfaat yang boleh diperolehi dengan pemberian sokongan tersebut.

"Saya dengan terang dan jelas menjawab bahawa saya tidak berminat untuk menyokong Muhyiddin Yassin dan menolak tawaran mereka," katanya pada satu kenyataan.

Nathrah walau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti dua individu terbabit atau butiran tawaran yang diterimanya jika menyokong kerajaan PN.

Antara sebab tawaran itu ditolak menurut Natrah ialah beliau  merasakan tiada erti jika dirinya berpaling tadah daripada perjuangan reformasi.

Terdahulu pada 27 Febuari lalu, Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail mendakwa wujud langkah terancang oleh pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat pembangkang dengan 'ugutan dan tawaran'.

Sehari selepas itu, dua wakil rakyat pembangkang, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon membuat akuan berkanun (SD) menyokong kerajaan PN.

Sementara itu, Natrah turut memberitahu bahawa 'tawaran dua individu' itu telah dimaklumkan kepada kepimpinan KEADILAN.

"Saya telah melaporkan perkara ini kepada pucuk pimpinan. Ini kerana saya percaya usaha jahat untuk menawar habuan dan jawatan atau mendesak serta mengugut ahli-ahli parlimen KEADILAN serta pembangkang amnya terus berjalan.

"Jelas kerajaan minoriti hari ini bersedia melakukan apa sahaja," kata Natrah lagi.

Post a Comment

0 Comments