Mahkamah tolak saman MCA terhadap Ahli Parlimen DAP


MAHKAMAH PERSEKUTUAN
menolak saman fitnah difailkan MCA terhadap Ahli Parlimen Kepong dari DAP Lim Lip Eng.

Keputusan itu dibuat panel tujuh hakim diketuai Hakim Rohana Yusuf dan dianggotai Azahar Mohamed, Nallini Pathmanathan, Zaleha Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Harmindar Singh Dhaliwal pada Khamis.

“Saman fitnah ini ditolak. Tiada perintah berkaitan kos kerana ia merupakan isu berkepentingan awam,” kata panel hakim.

Terdahulu, MCA memfailkan saman fitnah terhadap Lim susulan kenyataan yang dibuatnya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada 15 Mac 2016.

Saman itu difailkan pada  Julai 2017 oleh setiausaha agung MCA ketika itu Ong Ka Chuan.

Lim mendakwa parti itu tidak pernah menggunakan dana sendiri untuk memberi peruntukan kepada sekolah Cina dan ia sebaliknya “mengebas” dana awam.

Persoalan yang dikemukakan di Mahkamah Persekutuan tahun lepas ialah sama ada parti politik mempunyai kapasiti untuk meneruskan saman fitnah susulan keputusan kes Goldsmith lwn Bhoyrul.

Gopal Sri Ram yang mewakili Lim menegaskan bahawa bukan individu yang didakwa difitnah oleh Lim, tetapi melibatkan parti MCA.

Susulan keputusan itu, Sri Ram berkata, keputusan itu bermakna parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.

Sri Ram berkata, Lim disaman di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan dan MCA tidak mempunyai kausa tindakan sah terhadap defendan “kerana undang-undang fitnah melindungi reputasi individu”.

Beliau berkata, pada minggu lepas, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lim Guan Eng lwn Ibrahim Ali mengesahkan bahawa reputasi adalah berkait dengan individu, sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi, tetapi tidak melibatkan agensi kerajaan dan pertubuhan.

Beliau juga berkata, seperti MCA, kerajaan bukan individu artifisial yang boleh meneruskan kausa tindakan dalam saman fitnah”.

“Satu-satunya individu artifisial yang boleh meneruskan kausa tindakan dalam saman fitnah adalah perbadanan, malah itu pun hanya dari segi reputasi perniagaannya,” kata beliau.